Cendol Madu Pulut Pisang
Cendol Madu Pulut Pisang
Muhamad Surihan bersama menu Cendol Madu Pulut Pisang di Taman Tasik, Pendang.
Muhamad Surihan bersama menu Cendol Madu Pulut Pisang di Taman Tasik, Pendang.
Mohd Sharumnisham Shahbudin


Pendang: Seorang peniaga cendol tidak menyangka idea menambahkan hirisan pisang emas dan air gula merah bermadu menyebabkan minuman berkenaan menjadi popular sehingga dia tidak menang tangan melayan pelanggan yang berkunjung ke gerainya di Taman Tasik Pendang, di sini, pada setiap petang.

Mohamad Surihan Yakop, 35, berkata, sebelum ini dia hanya mampu menjual sekitar 100 gelas sehari saja, tetapi jualannya meningkat sehingga 300 gelas sehari selepas menu baru berkenaan diperkenalkan sehingga menjadi sebutan di laman sosial.

Menurutnya, selain penduduk tempatan, minuman cendol itu juga menjadi satu tarikan wajib yang perlu dirasai oleh orang ramai yang berkunjung ke daerah berkenaan.

“Resipi ini diilhamkan oleh anak saudara saya agar cendol yang dijual mempunyai kelainan daripada peniaga cendol yang lain, manakala air gula merah bermadu terilham selepas melihat seorang peniaga menambahkan madu dalam teh bunga yang mendapat sambutan luar biasa.

“Antara menu yang mendapat sambutan ramai ialah Cendol Madu Pulut Pisang, Cendol Madu Pisang dan Cendol Madu yang berharga antara RM2.50 hingga RM 3 segelas,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, sebelum ini dia berniaga di beberapa pasar sehari sekitar Pendang, tetapi kini hanya menumpukan perniagaan di Taman Tasik Pendang dan pasar sehari Tanah Merah kerana kekurangan tenaga kerja biarpun perniagaannya mendapat sambutan baik.

“Selain di Pendang, saya juga mempunyai cawangan di Sungai Petani dan bercadang membuka premis tetap di tepi jalan utama bagi memudahkan pelanggan mendapatkan cendol istimewa ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 9:39 AM