Dua suspek, Vijaya Kumar (kiri) dan Aung Soe Lwin, 41, dikehendaki polis kerana terbabit kes pembunuhan. FOTO Ihsan Polis
Dua suspek, Vijaya Kumar (kiri) dan Aung Soe Lwin, 41, dikehendaki polis kerana terbabit kes pembunuhan. FOTO Ihsan Polis
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS meminta kerjasama orang ramai mengesan dua suspek utama membabitkan dua kes bunuh di Kampung Sungai Dua Tambahan, Rawang dan di Apartmen Suria, KIP Gombak.

Dua suspek itu ialah warga tempatan, Y Vijaya Kumar, 30, dan warga asing, Aung Soe Lwin, 41, masing-masing terbabit kes pembunuhan pada Julai dan Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, suspek pertama, Vijaya Kumar tinggal di alamat terakhir di No 11, Jalan Garing Permai 4, Garing Permai, Serendah.

Katanya, suspek terbabit dalam kejadian bunuh seorang lelaki tempatan di hadapan sebuah kilang di Kampung Sungai Dua Tambahan, Jalan Batu Arang, pada 30 Julai tahun lalu.

“Susulan kejadian itu, polis sudah menahan tiga lelaki serta seorang wanita.

“Jadi, polis kini masih mengesan Vijaya Kumar yang bebas dan dipercayai suspek utama pembunuhan berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek berkenaan boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan I Agilan di talian 019-5230801.

Dalam pada itu, Samsor berkata, seorang lagi suspek, Aung, yang dikehendaki adalah lelaki warga Myanmar dan memegang pasport bernombor MC310488.

Menurutnya, suspek terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki warga Nepal yang ditemui ditikam sehingga mati di Apartmen Suria, KIP Gombak, 20 Januari lalu.

Bagi kes itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek berkenaan boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan P Visvanathan di talian 019-4728571.

“Kedua-dua suspek itu amat diperlukan bagi membolehkan siasatan lanjut dua insiden pembunuhan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dapat dilengkapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 7:11 PM