SAMSOR (kiri) memeriksa komputer riba digunakan untuk perjudian dalam talian ketika serbuan di pusat judi di Prima Seri Gombak, Gombak, malam tadi. FOTO Norizuan Shamsuddin.
SAMSOR (kiri) memeriksa komputer riba digunakan untuk perjudian dalam talian ketika serbuan di pusat judi di Prima Seri Gombak, Gombak, malam tadi. FOTO Norizuan Shamsuddin.
Norizuan Shamsuddin


POLIS menahan tujuh individu termasuk dua wanita dalam serbuan di sebuah pusat judi dalam talian di Prima Seri Gombak, Gombak, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dilakukan berhubung kegiatan judi berlaku di lokasi terbabit.

Beliau berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bermula 9.50 malam.

“Hasil serbuan, kami menahan tujuh individu iaitu empat daripada mereka disyaki penjaga premis membabitkan dua lelaki tempatan dan dua wanita termasuk seorang warga Vietnam.

“Manakala selebihnya iaitu tiga lelaki tempatan disyaki pemain judi.

“Kami merampas 11 komputer riba, sembilan telefon pintar dan wang tunai RM650," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, malam tadi.

Samsor berkata, hasil siasatan mendapati premis judi dalam talian terbabit didapati baru tiga hari beroperasi di lokasi terbabit.

Beliau berkata, pelanggan terdiri daripada mereka yang dikenali saja dan sindiket terbabit mengaut pendapatan antara RM,1000 hingga RM1,200 sehari.

Menurutnya, semua suspek berusia 20 hingga 59 tahun terbabit dibawa ke IPD Gombak untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 4(b)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 59/63 dan Seksyen 6(1) Enekmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Selangor 1995.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 12:34 AM