Saya yakin kemarahan rakyat terhadap kerajaan mengatasi isu yang cuba dibangkitkan untuk menyerang PAS atau calon UMNO, Datuk Iskandar.
Saya yakin kemarahan rakyat terhadap kerajaan mengatasi isu yang cuba dibangkitkan untuk menyerang PAS atau calon UMNO, Datuk Iskandar.
Khairul Azran Hussin


AHLI PAS di peringkat akar umbi kini sudah menerima serta memahami tujuan parti itu bekerjasama dengan UMNO.

Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kebanyakan ahli keliru berhubung perkara itu sebelum ini, tambahan pula ada pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) yang cuba menghasut ahli PAS untuk menentang kerjasama berkenaan.

“Ahli PAS di seluruh negara sudah faham kenapa kepemimpinan tertinggi parti buat keputusan ini.

“Kita dapat lihat semangat ahli PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands berbanding dengan beberapa PRK pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Selain itu, dengan izin Allah SWT momentum positif di Cameron akan diteruskan pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih nanti,” katanya kepada Harian Metro tadi.

Ditanya kemungkinan parti lawan akan memainkan dakwaan RM90 juta disyaki daripada wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dimasukkan ke dalam akaun pemimpin PAS pada PRK DUN Semenyih, Iskandar berkata, isu 1MDB bukan lagi perkara penting.

“Saya yakin kemarahan rakyat terhadap kerajaan mengatasi isu yang cuba dibangkitkan untuk menyerang PAS atau calon UMNO, terutama kegagalan menunaikan janji manifesto PRU-14.

“Selain itu, pelbagai isu membabitkan agama Islam sejak akhir-akhir ini turut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang Melayu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pakatan Harapan (HARAPAN) semakin bimbang kerjasama antara antara PAS dan UMNO akan menggugat pengaruh mereka.

“Berdasarkan keputusan PRU-14, ada sekurang-kurangnya 29 kerusi yang dimenangi HARAPAN disebabkan undi PAS dan BN berpecah.

“Perlu diingat, HARAPAN akan hilang semua kerusi ini jika undi PAS dan BN tidak berpecah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 3:05 PM