AZHAR (dua kiri) bersama Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar (kiri) meninjau petugas SPR membuat persiapan peti undi dan peralatan mengundi. FOTO Asyraf Hamzah
AZHAR (dua kiri) bersama Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar (kiri) meninjau petugas SPR membuat persiapan peti undi dan peralatan mengundi. FOTO Asyraf Hamzah
Rizanizam Abdul Hamid


PERJALANAN tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih selama 13 hari setakat pagi ini disifatkan berlangsung dalam suasana lebih baik berbanding PRK sebelumnya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata, ini dapat dilihat apabila tiada laporan di dibuat berhubung dakwaan rasuah berbanding 13 laporan diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di PRK Parlimen Cameron Highlands Januari lalu.

“Aduan diterima SPR termasuk di media sosial dan laporan media juga berkurangan berbanding di PRK sebelumnya.

“Di Cameron Highlands kita terima aduan mengenai pemberian wang, penggunaan aset kerajaan yang tidak berpatutan, namun di sini aduan berkurangan.

“Malah semalam kita difahamkan ada seorang menteri tarik balik inisiatif untuk memberi peruntukan kepada pengundi di sini dankita menganggapnya sebagai satu kemajuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan dan pameriksaan peti undi di Pusat Penjumlahan Undi PRK DUN Semenyih, di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), hari ini.

Mengulas lanjut Azhar Azizan berkata, setakat semalam, pihak polis juga hanya menerima 33 laporan polis.

“Jumlah itu kurang daripada PRK Cameron Highlands yang menyaksikan 43 laporan polis,” katanya.

Ditanya berhubung waktu keputusan jumlah undi yang akan diperolehi esok, Azhar berkata, keputusan rasmi PRK DUN Semenyih dijangka diumumkan sebelum 10 malam.

“Kita harap parti dan calon yang bertanding dapat turut sama memainkan peranannya dalam menarik seberapa ramai pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka esok,” katanya.

Menyentuh persiapan petugas menjelang hari mengundi esok, Azhar Azizan berkata, setakat ini semua berjalan lancar.

“Petugas, calon dan pengundi yang memasuki pusat mengundi diingatkan tidak memakai baju yang mempunyai simbol calon atau parti.

“Jika memakai baju tagline Bossku atau Malu Apa Bossku dan sekiranya ia hanya memaparkan tagline dan gambar Datuk Seri Najib Razak ia tidak menjadi kesalahan.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 1:50 PM