CUCU kepada pahlawan Mat Kilau, Mohd Alhamadi Abu Bakar. FOTO Mohd Rafi Mamat.
CUCU kepada pahlawan Mat Kilau, Mohd Alhamadi Abu Bakar. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


“SAYA berharap pihak menghasilkan filem Mat Kilau dapat menghasilkan cerita yang bukan sahaja terbaik dan bermutu, tetapi lebih penting mengikut jalan cerita sebenar dilalui pahlawan Mat Kilau.

“Walaupun penerbit filem terbabit tidak pernah bertemu saya untuk mengetahui kisah sebenar pahlawan itu, saya harap skrip filem itu tidak menjejaskan nama baik serta imej Mat Kilau,” kata Mohd Alhamadi Abu Bakar, 53.

Dia yang juga cucu pahlawan Mat Kilau berkata, dia tidak berniat untuk merendahkan kebolehan serta kemampuan penerbit filem Mat Kilau, sebaliknya hanya mengharapkan mereka lebih berhati-hati bagi mengelakkan tersalah fakta.

Katanya, sebagai pewaris terdekat Mat Kilau, dia tidak pernah didatangi mana-mana individu yang terbabit dengan filem Mat Kilau sedangkan dia banyak menyimpan cerita mengenai datuknya itu.

“Saya tidak pasti waris serta individu mana menjadi rujukan penerbit filem Mat Kilau, sebelum ini memang terdapat pihak tampil mendakwa mereka cucu termasuk saudara pahlawan itu.

“Saya bukan berniat untuk menyalahkan penerbit terbabit tetapi sebagai individu yang paling hampir dengan pahlawan Mat Kilau dan memiliki cerita sebenar perjuangan datuk saya, saya sepatutnya menjadi rujukan.

“Banyak kajian saya lakukan dalam usaha mencari cerita dan kisah sebenar pahlawan Mat Kilau, selepas semuanya terkumpul saya kongsikan dengan pelajar dan generasi muda hari ini,” katanya yang menetap di Taman Seri Inderapura, Kuantan.

Beliau berkata, Mat Kilau tinggal selama 35 tahun dengan keluarganya di Kampung Batu Lima di Kuantan dan dia amat mengenali datuknya itu daripada segi perwatakan dan sebagainya.

Alhamadi berkata, apa yang membimbangkannya adalah sekiranya filem itu akan menimbulkan fitnah terutama apabila memaparkan aksi ganas, gelojoh, membunuh, mengamalkan khurafat seperti terbang dan sebagainya.

“Sebagai cucu saya khuatir sekiranya filem Mat Kilau mengundang fitnah seterusnya mencalarkan imej datuk saya sebagai pahlawan yang berjuang menentang penjajah Inggeris.

“Saya tidak mahu generasi muda hari ini yang menonton filem Mat Kilau ini nanti akan hilang rasa hormat dan sanjungan mereka pada pahlawan Mat Kilau yang sanggup menggadai nyawa demi mempertahankan agama, bangsa dan negara,” katanya yang kini menjadi guru seni silat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 12:47 AM