DR Siti Shukhaila (kanan) bersama Marliza ketika Mat Kilau ‘movie night out’ bersama waris cucu cicit Mat Kilau di pusat beli-belah di Subang Jaya. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
DR Siti Shukhaila (kanan) bersama Marliza ketika Mat Kilau ‘movie night out’ bersama waris cucu cicit Mat Kilau di pusat beli-belah di Subang Jaya. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Sudirman Mohd Tahir

Petaling Jaya : Waris Mat Kilau iaitu Marliza Zain, 44, bangga apabila filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan berjaya mengumpulkan waris tokoh pahlawan Melayu itu untuk menonton filem terbabit.

Marliza berkata, filem itu menjadi topik perbincangan mereka yang mana ia bukan cerita dongeng.

"Sebagai cucu-cicit, sudah tentu berasa bangga, rasa ada kekeluargaan, kemelayuan dan rapat kembali. Malah, filem ini menjadi satu topik apabila berjumpa.

"Alhamdulillah sebab cerita ini bukan dongeng dan rekaan, malah jauh sekali mitos. Mat Kilau memang wujud. Kepahlawanan yang ada dalam dirinya  disebabkan penjajah. Sebab itu dia nak berjuang untuk mempertahankan Melayu dan tanah air.

"Ternyata benar pada zaman itu bangsa kita ini dipergunakan penjajah. Justeru, kita perlu bangkit dan berjuang. Kemerdekaan yang dikecapi juga perlulah merdeka dalam semua perkara dan aspek kehidupan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Marliza yang berkahwin dengan lelaki Slovakia, dia juga bangga bercerita yang mana dirinya adalah waris dan keturunan pejuang Melayu, Mat Kilau.

"Saya bercerita kepada mak mentua dan suami yang mana saya dari keturunan pahlawan. Memang bangga cakap waris Mat Kilau sebab dia pejuang dan berpegang pada agama.

"Kalau nak tahu juga ada diwujudkan Persatuan Waris Mat Kilau yang berpusat di Pahang yang dianggotai ratusan ahli. Dalam persatuan ini semua pun cuba nak dapatkan informasi tepat.

"Nak kira waris memang dah ramai. Sekarang ini memang kalau boleh nak kaji susur galur kami sebab dah banyak keturunan. Apabila ramai 'claim' keturunan Mat Kilau, ia mungkin betul, sebab memang dah ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 9:40 AM