Mohd Alhamadi di Galeri Mat Kilau di SK Padang Garuda yang diwujudkan sejak enam tahun lalu. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Alhamadi di Galeri Mat Kilau di SK Padang Garuda yang diwujudkan sejak enam tahun lalu. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garuda, di sini mewujudkan Galeri Mat Kilau yang menjadi antara tempat rujukan pencinta sejarah pahlawan berkenaan yang menjadi kebanggaan rakyat Pahang.

Guru Besar SK Padang Garuda, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 56, berkata, galeri yang dibuka sejak enam tahun lalu menyimpan lebih 80 gambar yang memaparkan sebahagian cerita Mat Kilau ketika hayatnya bersama keluarga, rakan seperjuangan dan masyarakat setempat.

Menurutnya, beberapa keris, busana Melayu, tanjak dan senjata Melayu lain turut dipamerkan bagi memberi lebih keceriaan kepada pengunjung yang datang melawat.

"Kita menerima pelawat daripada dalam dan luar Pahang yang datang untuk melihat sendiri galeri Mat Kilau yang dibangunkan dengan kerjasama guru SK Padang Garuda.

"Lukisan Mat Kilau juga terdapat pada dinding sekolah yang menjadi sebahagian daripada galeri Mat Kilau," katanya, di sini semalam.

Beliau yang juga cucu pahlawan Mat Kilau berkata, dia dan guru SK Padang Garuda berbangga dapat menyediakan galeri berkenaan yang menjadi rujukan generasi muda yang ingin mendapat cerita sebenar pahlawan Pahang itu.

"Sebagai cucu Mat Kilau atau nama sebenarnya Mohamed Rasu Abdul Salam, saya berbangga dapat terus memperkenalkan pahlawan yang banyak berjasa dalam mempertahankan tanah air daripada ancaman penjajah.

"Saya berharap generasi muda hari ini tidak terus membiarkan sejarah pahlawan yang ada di negara ini di telan kemajuan serta keamanan negara hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 8:16 AM