Ramlah (dua dari kanan) tidak dapat menahan sebak ketika dikunjungi Pengerusi JASMINE, Nora  (tengah) bersama ahli  JASMINE di rumahnya. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Ramlah (dua dari kanan) tidak dapat menahan sebak ketika dikunjungi Pengerusi JASMINE, Nora (tengah) bersama ahli JASMINE di rumahnya. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


WARGA emas, Ramlah Jaafar, 72, mengakui terharu dengan keprihatinan pelbagai pihak berikutan kehilangan anak perempuannya, Norlia Osman, 33, yang terkorban bersama suami dan dua anaknya dalam nahas jalan raya, baru-baru ini.

Ramlah berkata, dia tidak menyangka ramai prihatin dengan tragedi menimpa keluarga anaknya itu sehingga ada antara mereka yang tidak dikenali tampil memberi sokongan.

“Tatkala orang yang kita sayangi pergi, ada yang prihatin (memberi sokongan). Daripada saling tidak mengenali, jadi kenal.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua, sama ada yang membantu, mahupun yang tidak putus berdoa.

“Saya sedih, terharu kerana mereka sudi menziarah rumah ini, memberi simpati kepada keluarga kami atas kehilangan anak kami,” katanya.

Ramlah berkata demikian ketika ditemui selepas program lawatan Pertubuhan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan Negeri Johor (JASMINE) di rumahnya di Blok 23, FELDA Lok Heng Timur, Kota Tinggi, hari ini.

Program itu dihadiri Pengerusi JASMINE, Datin Nora Mohd Som dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rosleli Jahari.

Pada 7 Februari lalu, Norlia bersama suaminya, Mohd Firdaus Januri, 34, serta dua anaknya, Muhammad Adli, 6, dan Nur Dalili, 4, meninggal dunia akibat kemalangan selepas kereta dinaiki bertembung dengan lori di Kilometer 55 Jalan Kluang-Kota Tinggi, Kota Tinggi.

Ketika ditemui wartawan Harian Metro, Ramlah kelihatan sebak dan bergenang air mata apabila mengimbas pemergian anak dan keluarganya menghadap Ilahi selepas kemalangan maut itu.

“Hanya Allah yang tahu perasaan mak cik ketika ini,” kata Ramlah sayu.

Menurutnya, pemergian anaknya membawa kesan mendalam, selain kejadian yang berlaku sekelip mata itu tidak pernah terlintas dalam fikiran akan berlaku pada keluarganya.

Dalam pada itu, Nora berkata, lawatan itu diadakan bertujuan menghampiri masyarakat atau golongan yang memerlukan bantuan.

Katanya, ia secara tidak langsung dapat menzahirkan sifat insani, terutama dalam kalangan ahli JASMINE, mahupun masyarakat yang hadir sama.

“Bantuan disalurkan dengan segera. Tidak hanya datang menziarah, tapi turut merasai kesedihan mereka apabila kehilangan orang tersayang.

“Mudah-mudahan dia (Ramlah) reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

Dalam kejadian 12.33 tengah malam pada 7 Februari lalu, empat beranak itu terbunuh di lokasi kemalangan selepas kereta Honda Civic dinaiki bertembung dengan lori di lokasi kejadian.

Selain kemalangan membabitkan kereta dinaiki mangsa dan loti itu, ia turut membabitkan sebuah lagi kereta Proton Saga.

Norlia dan Mohd Firdaus bersama dua anak mereka, Muhammad Adli dan Nur Dalili disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Berita berkaitan

Pemandu lori direman tiga hari

Memori baju sedondon

[UPDATE] Disemadi dalam satu liang lahad [METROTV]

‘Rindu telatah anak saudara

Keluarga, rakan mangsa 'berkampung' di hospital

'Jumpa lagi esok...'

[UPDATE] 20 minit keluarkan pemandu tersepit

Empat beranak ajal bersama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 11:32 PM