KETUA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar (kanan) memeriksa Remote Operating Vehicle (ROV) model MKII Bentos yang digunakan untuk pencarian objek di dasar laut dalam gerakan mencari Abdul Bari di Pulau Warisan. FOTO Ghazali Kori.
KETUA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar (kanan) memeriksa Remote Operating Vehicle (ROV) model MKII Bentos yang digunakan untuk pencarian objek di dasar laut dalam gerakan mencari Abdul Bari di Pulau Warisan. FOTO Ghazali Kori.
Zaid Salim


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, yang dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu dekat Pulau Warisan, Kuala Terengganu diperhebatkan dengan penggunaan beberapa peralatan canggih.

Selepas peralatan khas VRS 2000 yang digunakan bagi menaikkan kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm yang tenggelam di dasar sungai itu, pagi tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menggunakan satu lagi kaedah iaitu melakukan selaman dengan peralatan khas iaitu Remote Operating Vehicle (ROV) Model MKII Bentos.

Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, peralatan bagi mengesan objek itu dilabuhkan di dasar sungai itu pada 9.30 malam ini.

Katanya, ROV MKII Bentos yang dilengkapi dengan kamera, lampu, kipas boleh berpusing 360 darjah atas dan bawah menggunakan kaedah kawalan jauh dikendalikan pegawai berada di atas bot berdasarkan paparan rakaman tertera pada monitor.

Menurutnya, alat berkenaan diletakkan di Akademi JBPM Wakaf Tapai, Marang hanya digunakan sekiranya perlu selain untuk tujuan latihan.

“Selain disambung terus ke monitor, ROV MKII Bentos dihidupkan dengan kuasa generator menggunakan kabel sepanjang 300 meter dan boleh bertahan untuk tempoh pencarian selama empat jam secara terus.

“Menerusi kaedah ini, kami tidak memerlukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) untuk melakukan operasi selaman di dasar kerana alat ini akan merakam sebarang objek berada di lokasi pencarian.

“Sekiranya terdapat mangsa di lokasi pencarian, pegawai mengendali peralatan ini akan membuat arah memegang mangsa menggunakan rahang bagi mengelak objek ditemui bergerak atau beralih kedudukan sementara menunggu anggota selaman turun ke lokasi objek ditemui,” katanya.

Beliau berkata, radius pencarian pada malam ini membabitkan kawasan seluas kira-kira dua kilometer.

Menurutnya, ROV digunakan untuk pencarian di kawasan alur sudah dikenal pasti dengan kedalaman air ketika ini sedalam 2.3 meter.

Sementara itu, Instruktor Latihan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Terengganu Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Roslan Zakaria berkata, operasi SAR pada malam ini membabitkan pencarian di dua lokasi sudah dikenal pasti.

Beliau berkata, dua lokasi itu adalah kawasan teluk dengan paras air sedalam tujuh meter dan lebar seluas tujuh meter ketika air pasang.

“Hasil selaman dilakukan sebelum ini, mangsa dipercayai masih berada dalam kawasan lokasi kejadian,” katanya.

Berita berkaitan

'Kami sayang kamu Abdul Bari'

'Ya Allah, permudahkan pencarian Abdul Bari...'

'Rasa nak habis nafas dah...'

'VRS 2000 apungkan Mitsubishi Storm'

'`YANG aku takut jika ajal yang tibe dulu...... ''

''Saya reda dan bangga' - Bapa Abdul Bari'

'Dia tenggelam timbul pegang budak'

PPDA cari Abdul Bari pagi ini

Nekad terjun sungai selamatkan mangsa [METROTV]

'Hilang ketika selamatkan pikap terjunam ke sungai'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 11:36 PM