Nur Saliawati Salberi


“TIDAK tahu apa niat dia berbuat demikian tapi saya berterima kasih atas tindakannya itu kerana secara tidak langsung mempromosikan lagi kedai saya,” kata Pemilik Raja Cendol Taming Sari Muhammad Ariff Qayyum Mohd Zambri, 25.

Menurut anak muda itu, dia menyedari harga cendol dari premisnya tular dan didakwa mahal sejak dari semalam selepas menerima pesanan dari WhatsApp.

Katanya, dia menganggap insiden yang berlaku ini sesuatu yang positif kerana harga yang ditetapkan adalah berpatutan.

“Kepada pelanggan yang sudah biasa dengan harga durian mereka tidak akan pertikaikan lagi paras harga yang sudah ditetapkan kerana mereka faham.

“Sejak dibuka kira-kira 19 bulan lalu harga yang dikenakan masih sama antara RM17 hingga RM38,” katanya, ketika ditemui di Raja Cendol Taming Sari di Menara Taming Sari, Melaka.

Muhammad Ariff Qayyum berkata, harga ditentukan berdasarkan jenis durian yang disediakan iaitu Musang King, Udang Merah, D24 dan D101.

Katanya, durian dalam setiap hidangan cendol sudah ditimbang antara 120 hingga 150 gram bagi setiap hidangan bagi memastikan kepuasan pelanggan.

“Di dalam dan luar kedai sudah ditampal tanda harga ini untuk memudahkan pelanggan mengetahui kadar harga ditetapkan.

“Petang tadi wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ada datang membuat pemeriksaan dan mereka berpuas hati,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial berkenaan harga yang didakwa dicaj mahal bagi tiga mangkuk cendol durian king mencecah RM114.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 8:29 PM
HARGA ditentukan berdasarkan jenis durian yang disediakan iaitu Musang King, Udang Merah, D24 dan D101. FOTO Rasul Azli Samad
HARGA ditentukan berdasarkan jenis durian yang disediakan iaitu Musang King, Udang Merah, D24 dan D101. FOTO Rasul Azli Samad