ANGGOTA Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemeriksaan tanda harga dan penimbang di gerai menjual durian. FOTO ihsan KPDNHEP.
ANGGOTA Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemeriksaan tanda harga dan penimbang di gerai menjual durian. FOTO ihsan KPDNHEP.
Ahmad Rabiul Zulkifli


PENIAGA durian perlu memaparkan tanda harga dan menggunakan alat penimbang disahkan setiap enam bulan sekali bagi memastikan kes penipuan jualan durian tidak berlaku.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya akan mengenakan tindakan segera terhadap peniaga yang menipu dalam timbangan.

"Kami tidak akan berkompromi dengan peniaga yang menipu dalam timbangan sekiranya mereka ditangkap berbuat demikian.

"Kompaun RM1,000 akan dikenakan segera terhadap peniaga ditangkap menggunakan alat penimbang yang tidak sah kerana ia dianggap serius dan menzalimi pembeli," katanya.

Rosol berkata, peniaga perlu memaparkan tanda harga di gerai durian masing-masing sepanjang menjalankan perniagaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak menetapkan harga durian, tetapi peniaga diminta supaya menjualnya dengan harga berpatutan serta mengikut harga pasaran semasa.

"Kami akui harga durian bergred seperti Musang King, D24 dan D101 tinggi, tetapi tidak bermakna peniaga bebas mengenakan harga secara sesuka hati.

"Harga dikenakan perlu selaras dengan harga semasa. Paling penting peniaga perlu memaparkan tanda harga jelas supaya tidak mengelirukan pelanggan ketika proses jual beli dijalankan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa menjalankan tinjauan dan pemerhatian di tapak jualan buah-buahan terutama durian bagi memastikan peniaga mengikut garis panduan perniagaan durian ditetapkan itu.

Menurutnya, jika peniaga menjual terlalu mahal, tidak meletakkan tanda harga dan menggunakan alat penimbang tidak disahkan, tindakan akan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 4:18 PM