Tan Sri Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa
Alias Abd Rani


Muar: Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menggesa ahli Umno di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram menolak calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Amanah Negara (Amanah) kerana penubuhannya hasil daripada acuan DAP.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, PRK Parlimen Pulai mahupun Simpang Jeram bukan pilihan raya Umno kerana parti itu tiada calon bertanding.

"Jadi, saya nak beritahu penyokong dan ahli Umno kerana fikirlah nak undi calon Amanah ke tidak. Amanah dilahirkan oleh DAP dengan calonnya diberikan tempat di mana nyawanya berada di halkum DAP.

"Undi Amanah bererti menyokong DAP, kalau undi Amanah bermakna (Parlimen) Bakri ini selama-lamanya di bawah Amanah.

"Umno akan melopong sepanjang masa dan calon lebih baik di Bakri ini ialah mengutamakan penyatuan orang Melayu dan Bumiputera di bawah lambang PN," katanya pada Ceramah Kelompok PN di Simpang Jeram di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli.

Menurut Annuar lagi, sekiranya PN menjadi kuat, Umno akan beransur-ansur kembali bersatu dan bernaung bawah satu bumbung untuk tempoh jangka panjang.

"Orang Melayu termasuk ahli Umno perlu mengundi calon PN dalam dua PRK ini. Jangan buat undi berpecah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 3:23 PM