ANGGOTA Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang mengarahkan warga asing menjalani pemeriksaan di stesen bas sementara Pengkalan Raja Uda, Butterworth, hari ini. FOTO Ihsan JIM
ANGGOTA Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang mengarahkan warga asing menjalani pemeriksaan di stesen bas sementara Pengkalan Raja Uda, Butterworth, hari ini. FOTO Ihsan JIM
Hadzlihady Hassan


BARU turun bas, terus kena tahan. Itu yang berlaku terhadap sekumpulan warga asing apabila mereka tidak sempat melarikan diri dalam operasi di stesen bas sementara Pengkalan Raja Uda, Butterworth, hari ini.

Dalam pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, seramai 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan kerana tiada dokumen sah.

Operasi terbabit dilakukan hasil risikan daripada maklumat awam berikutan ramai warga asing yang mengambil kesempatan cuti hari minggu untuk menggunakan perkhidmatan bas.

Ketika ditahan, kebanyakan mereka memberitahu mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk pergi ke Bandar Georgetown berjumpa rakan dan bersiar-siar.

Mereka dikesan menaiki bas dan seterusnya pergi ke terminal feri berhampiran untuk ke bahagian pulau dan akan pulang semula ke tanah besar ketika petang.

Timbalan Penolong Pengarah JIMPP Izham Idris berkata, dalam operasi itu seramai 612 warga asing diperiksa dan 49 daripada mereka didapati tidak mempunyai sebarang dokumen sah.

Menurutnya, PATI yang ditahan itu terdiri daripada 48 lelaki manakala seorang wanita dan semua warga asing yang diperiksa berasal dari Indonesia, Nepal, Myanmar, Bangladesh, India dan Laos.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan kesalahan mengikut Peraturan 39(b), Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 8:22 PM