SEBAHAGIAN PATI yang ditahan di sekilar Pasar Dato Keramat, semalam.
SEBAHAGIAN PATI yang ditahan di sekilar Pasar Dato Keramat, semalam.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: Bertempiaran melarikan diri termasuk ada antaranya tergolek jatuh akibat panik sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Itu antara situasi kelam-kabut berlaku sekitar Pasar Dato Keramat di sini, sejurus diserbu lebih 30 anggota dan pegawai (JIM) bertujuan memberkas peniaga dan pekerja membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan itu jam 9 pagi, semalam.

Dalam serbuan mengejut itu, kebanyakan anggota JIM memakai kemeja-T biasa selain menunggang motosikal ke lokasi sasaran.

JIM kemudian menahan warga asing yang didapati berniaga atau bekerja di dalam dan di luar Pasar Keramat, di sini.

Ada individu yang ditahan membabitkan warga asing yang datang ke pasar itu untuk membeli barangan dapur selain bersarapan pagi.

Beberapa lelaki warga asing turut bertindak agresif dengan berlari ke arah sungai berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Dato Keramat bersebelahan pasar itu sebelum menghilangkan diri.

Hasil operasi, 24 individu diberkas selepas gagal menunjukkan dokumen memasuki negara ini secara sah.

Seorang peniaga, Muhammad Iqbal Mohd Hassan, 48, berkata, isu kebanjiran pekerja warga asing terutama dari Indonesia dan Bangladesh sudah berlarutan sekian lama.

Menurutnya, golongan itu kebanyakannya berniaga ayam dan sayur-sayuran selain memiliki kedai runcit.

“Sedikit demi sedikit mereka mula memonopoli perniagaan di sini. Ramai peniaga tempatan tidak senang dan membuat laporan kepada JIM.

“Syukur hari ini (semalam) pegawai JIM datang melakukan operasi dan tangkapan. Saya harap operasi sebegini diteruskan secara konsisten,” katanya yang berniaga roti canai.

Sementara itu Pengarah JIM Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, hasil operasi itu, seramai 60 individu diperiksa.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, 24 individu disahkan pendatang tanpa izin diberkas membabitkan 22 warga Indonesia dan dua Bangladesh.

“Semua individu ditahan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 6 (1)(c) kerana tidak memiliki dokumen memasuki negara ini secara sah selain Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 10:57 AM