Warde kali terakhir dilihat pada 28 Disember lalu. FOTO Ihsan Polis
Warde kali terakhir dilihat pada 28 Disember lalu. FOTO Ihsan Polis
Nor Azizah Mokhtar


POLIS meminta bantuan orang ramai untuk mengesan lelaki warga Ireland yang dilaporkan hilang di ibu negara sejak akhir Disember lalu dan sehingga kini polis masih berusaha mengesannya.

Mangsa dikenali sebagai Stephen Warde, 32, kali terakhir dilihat pada 28 Disember lalu di kondominium Mercu Summer Suites, Jalan Cendana Off Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Mangsa dikatakan datang ke negara ini berseorangan pada 15 November lalu dan menyewa di kondominium itu.

Difahamkan, mangsa sepatutnya mendaftar keluar dari kondominium berkenaan pada 29 Disember lalu, namun tidak berbuat begitu.

Mangsa dipercayai masih berada di negara ini kerana barangan miliknya ada ditinggalkan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali ahli keluarga mangsa untuk tampil membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Khairil Juliana Mat Nawi di talian 03-26002222 atau Hotline Pusat Kawalan Daerah Dang wangi 03-26977099,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 12:13 AM