MANGSA ditemukan mati dengan kesan lebam di pergelangan tangan dan dahi di sebuah bilik yang disewa di Lorong Ceylon, Bukit Bintang, hari ini. FOTO ihsan polis
MANGSA ditemukan mati dengan kesan lebam di pergelangan tangan dan dahi di sebuah bilik yang disewa di Lorong Ceylon, Bukit Bintang, hari ini. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pengawal keselamatan ditemukan mati dengan kesan lebam di pergelangan tangan dan dahi di sebuah bilik yang disewa di Lorong Ceylon, Bukit Bintang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.15 pagi yang dibuat oleh isteri mangsa.

"Pemeriksaan mendapati mangsa adalah warga tempatan berusia 28 tahun ditemukan terbaring di katil.

"Siasatan awal mendapati mangsa menyewa bilik berkenaan dengan menggunakan nama kenalannya. Dia ditemukan dengan kesan lebam di pergelangan tangan dan dahi dipercayai dibunuh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian itu polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 20-an bagi membantu siasatan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kematian dan motif pembunuhan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 6:35 PM