BERNAMA

SERAMAI 247 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang terdiri daripada anggota polis dijangka keluar mengundi hari ini di dua pusat pengundian yang dibuka tepat pukul 8 pagi tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata daripada jumlah itu seramai 232 orang mengundi di bilik maklumat, Balai Polis Berinchang di sini bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata yang dibuka sehingga pukul 5 petang ini.

Sementara itu, bagi DUN Jelai seramai 15 lagi pengundi awal akan mengundi di bilik maklumat, Balai Polis Sungai Koyan sebelum pusat pengundian itu ditutup pada pukul 2 petang.

Proses pengundian awal akan disaksikan oleh ejen-ejen calon bertanding selain pemerhati Pilihan Raya daripada wakil-wakil organisasi serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR.

Selepas selesai proses pengundian peti-peti undi awal akan disimpan di balai polis sebelum dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah untuk penjumlahan rasmi pada hari pengundian 26 Januari ini.

Pada PRK kali ini, seramai 32,009 orang layak mengundi termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir serta 385 pengundi kurang upaya.

Anggota polis menunaikan tanggungjawab membuang undi ketika undi awal di Balai Polis Sungai Koyan hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang
Anggota polis menunaikan tanggungjawab membuang undi ketika undi awal di Balai Polis Sungai Koyan hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang

PRK Cameron Highlands pada Sabtu ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), M.Manogaran, Ramli Mohd Nor dari Barisan Nasional (BN) serta dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki Sallehudin Ab Talib serta Wong Seng Yee yang adalah petani tempatan.

Pilihan raya itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

PRK ini adalah yang kelima setelah tiga pilihan raya sebelum ini membabitkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta PRK Parlimen Port Dickson.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 10:20 AM