MOHAMAD Fuzi Harun. FOTO Arkib NSTP
MOHAMAD Fuzi Harun. FOTO Arkib NSTP
Norizuan Shamsuddin


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan satu badan bebas bagi mengkaji tahap rasa selamat dalam kalangan masyarakat sejajar dengan penurunan indeks kadar jenayah di negara ini setiap tahun.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, berdasarkan perbandingan Jenayah Indeks Per 100,000 Penduduk Se-Malaysia sepanjang tahun lalu, sejumlah 88,662 kes dilaporkan berbanding nilai ambang ditetapkan iaitu sebanyak 100,611 kes.

Katanya, jumlah berkenaan menunjukkan penurunan sebanyak 11.9 peratus bersamaan 11,949 kes.

“Penurunan positif kes jenayah juga turut berlaku di setiap kontinjen PDRM mengikut nilai ambang ditetapkan.

“Kita akan terus bekerja keras lagi untuk meningkatkan tahap rasa selamat dalam kalangan masyarakat dengan penurunan kadar jenayah ini.

“Bagaimanapun, buat masa ini kajian hanya dilakukan di peringkat dalaman PDRM dan kita tidak mahu syok sendiri.

“Untuk itu, kita akan bekerjasama bagi mewujudkan satu badan bebas untuk mengkaji tahap rasa selamat dalam kalangan masyarakat agar persepsi mereka terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman awam dapat dipertingkatkan lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan semua jabatan peringkat Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis itu, Mohamad Fuzi turut menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 47 pegawai dan anggota sebagai menghargai semangat kepahlawanan, pengorbanan serta bakti mereka kepada negara.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan atas prestasi cemerlang kepada tiga anggota yang bertugas di Zon Utara, Cawangan Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.

Mereka terbabit dalam operasi membanteras penyeludupan lebih 500 kilogram (Kg) dadah jenis syabu yang dirampas hasil penahanan lori kontena di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Taiping, 12 Januari lalu

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 11:17 AM