Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Remaja berusia 17 tahun yang mengandung dan bimbang dimarahi keluarga sanggup membuat laporan palsu kononnya disamun sebelum dirogol.

Itu antara 100 laporan palsu membabitkan kes samun yang diterima polis Pulau Pinang sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata daripada jumlah itu, sebanyak 74 daripada laporan disamun dibuat berikutan hilang kad pengenalan, salah guna wang (lapan), mengelak daripada membayar hutang (empat) dan kehilangan pasport atau kad UNHCR (lima).

Selain itu, sebanyak tiga laporan palsu berkenaan juga dibuat berikutan pergaduhan dan selisih faham, ponteng kerja (dua), bagi tuntutan insurans (dua) dan masing-masing satu bagi kes mengandung dan restu keluarga untuk berkahwin.

"Ia membabitkan peratusan sebanyak 21.6 peratus laporan palsu yang terpaksa disiasat dan kita hanya buang masa bagi tujuan itu serta memberi gambaran bahawa Pulau Pinang tidak selamat.

"Manakala dalam tempoh dua bulan antara Januari hingga Februari tahun ini, sebanyak 11 kes laporan palsu bermotifkan samun dibuat yang mana enam kes berikutan kehilangan kad pengenalan, hilang kad UNHCR (dua) dan masing-masing satu bagi tuntutan insurans, ditipu ejen pelaburan dan salah guna harta," katanya pada sidang media, hari ini.

MOHD Shuhaily ditemui media pada sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 Kontijen Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut. FOTO Danial Saad
MOHD Shuhaily ditemui media pada sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 Kontijen Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut. FOTO Danial Saad

Beliau ditemui selepas majlis sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 Kontijen Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini.

Antara laporan yang diterima ialah daripada seorang remaja berusia 17 tahun selepas menyedari dirinya mengandung dan bimbang dimarahi keluarga, dia kemudian membuat laporan palsu mendakwa disamun sebelum dirogol.

Menurut Mohd Shuhaily berkata, membuat laporan palsu adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

"Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan penjara tidak lebih enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shuhaily berkata, jumlah keseluruhan jenayah indek Kontinjen Pulau Pinang membabitkan kekerasan dan harta benda yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini adalah sebanyak 614 kes manakala nilai ambang bagi tempoh yang sama adalah 989 kes.

Katanya, ia menunjukkan penurunan kes jenayah indek adalah sebanyak 375 kes bersamaan 37.9 peratus berbanding nilai ambang.

"Jenayah kekerasan pula direkodkan sebanyak 139 kes dan menunjukkan penurunan sebanyak 101 kes bersamaan 42.2 peratus berbanding nilai ambang.

"Manakala jenayah harta benda direkodkan sebanyak 475 kes dan menunjukkan penurunan sebanyak 274 kes bersamaan 36.6 peratus berbanding nilai ambang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 2:58 PM