Shaarani Ismail

Cameron Highlands: “Tidur tiga jam sehari dan masa selebihnya dihabiskan untuk urusan kempen sebagaimana yang sudah diatur parti tetapi ia bukanlah sesuatu yang baru bagi saya,” kata calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor.

Beliau yang juga bekas pegawai kanan polis berkata, ketika masih berkhidmat sebagai polis beliau sudah terbiasa untuk bersiap sedia dan perkara itu sebati dengan dirinya.

“Rehat walaupun sekejap-sekejap penting tetapi saya turut mengambil makanan tambahan bagi memastikan sentiasa bertenaga dan dapat bergerak dalam keadaan yang selesa.

“Saya amalkan jika ada ruang untuk rehat sekejap, maka saya akan rehat, jika perjalanan dari satu tempat ke satu tempat agak jauh jika dapat peluang untuk tidur sekejap saya akan tidur, selain buat senaman sedikit bagi pastikan saya kekal cergas.

“Biasanya rutin kempen bermula selepas solat Subuh, sebaik selesai saya akan bersarapan dan mengikut jadual kempen yang sudah ditetapkan, semalam (kelmarin) saya hanya dapat lelapkan mata selepas selesai kempen jam 3.30 pagi,” katanya yang ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Raja, semalam.

RAMLI mendengar permasalahan masyarakat Orang Asli ketika berkempen di Kampung Terisu, Cameron Highlands. FOTO Abdullah Yusof
RAMLI mendengar permasalahan masyarakat Orang Asli ketika berkempen di Kampung Terisu, Cameron Highlands. FOTO Abdullah Yusof

Ditanya bagaimana suasana kempen sepanjang empat hari kempen sudah berlangsung, Ramli berkata, setakat ini sangat positif kerana beliau anak tempatan.

Beliau yang juga berketurunan Orang Asli dari suku Semai berkata, kempen di kawasan perkampungan Orang Asli terasa begitu dekat kerana mereka itu adalah sebahagian daripada dirinya.

“Alhamdulillah, saya orang tempatan dan memahami masyarakat saya. Saya Orang Asli dan ketika pergi ke program bersama Orang Asli saya tahu apa masalah yang mereka hadapi, masalah ekonomi mereka juga saya faham,” katanya.

Ditanya sejauh mana peluang beliau untuk memenangi hati pengundi setakat ini, Ramli berkata, sambutan dan persekitaran sepanjang kempen berlangsung sangat positif dan isyarat pengundi jelas.

Ramli yang difahamkan boleh memahami serba-sedikit bahasa Mandarin berkata, beliau tidaklah mahir tetapi boleh faham apa yang disampaikan dan akan menggunakan sebaiknya kelebihan itu untuk mendekati pengundi dengan lebih baik.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 9:57 AM