KEADAAN kereta mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kereta mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Faliq Lajim


PEKERJA Westport maut selepas lori tangki merempuh lima kenderaan di Jalan Pelabuhan Barat berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pulau Indah di Pelabuhan Klang, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa, M Subendren, 26, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan teruk di kepala dan badan selepas tersepit di dalam keretanya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, ketika kejadian, mangsa yang memandu Perodua Kelisa dan empat lagi kenderaan lain sedang berhenti di lampu isyarat jalan berkenaan.

“Tidak lama kemudian, sebuah lori tangki yang datang dari arah sama secara tiba-tiba melanggar belakang lori tangki di hadapannya hingga mengakibatkan empat kenderaan turut dilanggar.

“Ia mengakibatkan kereta Subendren terhimpit sehingga remuk antara dua treler berkenaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Lima lagi pemandu berusia 31 hingga 48 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Kata Shamsul Amar, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 8:04 PM