Keadaan kereta mangsa yang terbabas ke dalam parit. FOTO Ihsan PDRM
Keadaan kereta mangsa yang terbabas ke dalam parit. FOTO Ihsan PDRM
Ruwaida Md Zain


PERJALANAN pulang pengurus operasi bank ke rumahnya berakhir tragedi apabila maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terhumban ke parit di Jalan Kebun Nenas, Bandar Putera, Klang hari ini.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa, Yap Kian Soon, 38, disahkan maut di tempat kejadian akibat lemas di dalam parit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa yang memandu Hyundai Tucson dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sentosa selepas keluar bersama rakan.

“Setibanya di satu selekoh di kawasan itu, kenderaan dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam parit.

“Kenderaan yang terbalik itu mengakibatkan mangsa tersepit dan terpaksa meminta bantuan bomba untuk mengeluarkannya.

“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian akibat lemas dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat,” katanya.

Shamsul Amar berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa mengantuk ketika memandu.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 3:49 PM