MANGSA maut selepas motosikal ditunggang merempuh kereta. FOTO ihsan Polis
MANGSA maut selepas motosikal ditunggang merempuh kereta. FOTO ihsan Polis
Amirul Aiman Hamsuddin


LELAKI maut dalam keadaan memilukan apabila kaki kiri dan pergelangan tangan kirinya terputus selepas motosikal ditungganginya merempuh kereta di Jalan Pelabuhan Barat (Pandamaran-Shah Alam), Klang, 6.10 pagi, hari ini.

Mangsa, P Praveen Raj, 24, yang menunggang Modenas Kriss meninggal dunia di tempat kejadian akibat turut mengalami kecederaan di kepala.

Manakala, pemandu kereta berusia 24 tahun bersama tiga penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, ketika kejadian, kereta itu dalam perjalanan dari Bukit Tabur menghala ke Bandar Botanik 2.

"Namun, motosikal ditunggang mangsa yang dipercayai keluar dari susur Klang-Banting merempuh bahagian kiri kereta itu.

"Rempuhan itu mengakibatkan kaki kiri dan pergelangan tangan kiri mangsa terputus sebelum ditemui kira kira 1.5 meter dari tempat kejadian," katanya.

Menurut Amar, mayat mangsa yang berasal dari Taman Sentosa, Klang itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987," katanya.

Kata beliau, pihaknya meminta saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 7:01 PM