KENANGAN Angah bersama Nota Band. FOTO Ihsan Nota Band
KENANGAN Angah bersama Nota Band. FOTO Ihsan Nota Band
Izlaily Nurul Ain Hussein


HASIL nukilan Allahyarham Muhammad Fadizrul Azraain Billah Zulkifly, 23, atau lebih dikenali sebagai Angah menerusi lagu Derita Cinta direkod semula kumpulan muzik yang dianggotai ketika hayatnya, Nota Band.

Angah yang meninggal dunia pada 18 November 2018 akibat menghidap empat jenis kanser termasuk hidung, hati, paru-paru dan selaput otak, menulis lirik lagu berkenaan sebelum menyanyikannya secara akustik dengan petikan gitar dan dimuat naik ke laman sosial Facebook (FB).

Selepas ketiadaan Angah, Nota Band yang ditubuhkan pada 2013 itu mengambil inisiatif untuk merakamkan semula lagu berkenaan sekali gus merealisasikan impian Allahyarham.

Menurut vokalis kumpulan itu, AD Yusof, lagu yang digubah oleh Dayat AD itu sudah pun selesai menjalani rakaman di Lifesound Studio Malaysia dekat Pasir Gudang dan boleh mula didengar menerusi Youtube, Khamis ini.

“Lagu ini sudah dibuat pada 2015, namun kami mempunyai lagu single yang perlu disiapkan terlebih dahulu ketika itu, dan belum merancang merakam lagu Derita Cinta.

“Bagaimanapun, arwah Angah ada memuat naik lagu Derita Cinta di FB pada Julai 2018 dan menyatakan ia adalah lagu terakhir yang akan dinyanyikannya. “Oleh itu, kami tidak berfikir panjang dan ingin merealisasikan impian arwah dengan merakamkan lagu ini secara rasmi,” katanya.

AD Yusof berkata, lagu berkenaan diterbitkan oleh Loco dari kumpulan Hyper Act selepas disusun semula.

Sementara itu, AD Yusof berkata, mereka dimaklumkan oleh bapa Angah terdapat beberapa lagi lirik lagu yang dijumpai dalam simpanan arwah.

“Kami ada bercadang untuk melihat lirik lagu yang ditulis arwah ketika hayatnya dan sekiranya kami mempunyai material melodi yang baik, Insya Allah... mungkin kami akan merakamkan lagu menggunakan lirik lagu ditulis arwah,” katanya.

Peranan arwah Angah sebagai pemain gitar kedua dalam Nota Band kini diganti oleh Aydiel yang sebelum ini bermain keyboard.

Nota Band kini dianggotai AD Yusof selaku vokalis; Along yang juga abang kepada Angah (gitar utama); Meerul (pemain dram); Aydiel (pemain gitar kedua), Roy (keyboard) dan Miji (Pemain bass).

Lagu Derita Cinta boleh mula didengar secara rasmi di saluran Youtube, Notaband Official pada jam 12 tengah hari, Khamis ini.

Berita berkaitan

''Derita Cinta' kenangan Angah'

  • 'Angah sudah tiada'
  • ''Angah nak sihat...'[METROTV]'
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 5:11 PM