PROJECTOR Band tak ambil peduli kecaman. FOTO Zunnur Al Shafiq
PROJECTOR Band tak ambil peduli kecaman. FOTO Zunnur Al Shafiq
Oleh Najiy Jefri

KECAMAN dan teguran daripada warganet di laman sosial kini sudah menjadi lumrah dalam kehidupan selebriti.

Justeru, setiap artis seharusnya bijak dalam menangani sebarang dakwaan atau kecaman supaya tidak memberi tekanan pada diri.

Bagi kumpulan Projector Band, mereka tidak lagi mengambil peduli terhadap setiap kecaman yang diberikan, malah kumpulan dikenali dengan lagu Sudah Ku Tahu itu lebih selesa memilih untuk membiarkan saja.

Kata pemain gitar utamanya, Angah atau Razif Zainuddin, mereka hanya menganggap kecaman dan teguran itu perkara yang mewarnai perjalanan kerjaya seni, biarpun hampir setiap hari Projector Band perlu berhadapan komen negatif.

“Paling sering terkena kecaman adalah vokalis kami, Iskandar. Warganet asyik tegur mengenai vokal serta bentuk badannya seperti menyanyi hancur dan didakwa juga mengambil benda terlarang berikutan Iskandar kini kelihatan semakin kurus.

“Kami tak kisah sebab Projector Band ada ikatan yang sangat kuat dan sangat membantu memberi motivasi antara satu sama lain.

“Jadi, kami hanya baca apa saja komen yang diberikan. Apatah lagi, setiap kali keluar saja lagu baru, mesti ada yang komen macam-macam. Pada saya, warganet hanya mahukan yang sempurna, tapi mereka juga kena tahu kami pun manusia biasa walaupun artis.

PROJECTOR Band sentiasa pastikan muncul dengan dua lagu dalam setahun supaya pendengar tidak lupa mereka. FOTO Zunnur Al Shafiq
PROJECTOR Band sentiasa pastikan muncul dengan dua lagu dalam setahun supaya pendengar tidak lupa mereka. FOTO Zunnur Al Shafiq

“Apapun, kami sedikit tak tertekan dan ambil pusing. Malah, kami jadikan ia sebagai bahan lawak. Setakat ini, kami menggunakan media sosial seperti akaun Instagram secara sihat kerana kalau di layan perkara tidak sihat, kami pun akan jadi sakit,” katanya.

Selain Angah dan Iskandar, Projector Band turut dianggotai Ahmad Khusairi Shaferi selaku pemain gitar dan Muhammad Safiq Zainuddin (pemain dram).

Tampil dengan lagu baru berjudul Akhirnya Ku Tahu, karya ciptaan Angah dengan liriknya hasil tulisan Jimie itu berkisar pada pengalaman penyanyi utama mereka, Iskandar.

Tetap menggunakan judul yang berakhir dengan perkataan ‘Tahu’, Angah berkata, ia jenama Projector Band sejak lagu pertama, Sudah Ku Tahu.

“Kalau peminat nak tahu, sebenarnya kami sudah menulis tujuh lagu berkisarkan kisah ini dan sekarang baru tiga lagu yang dikeluarkan iaitu Sudah Ku Tahu, Meskipun Kau Tahu dan sekarang Akhirnya Kau Tahu. Selepas ini pula, kami akan tampil dengan lagu Seharusnya Kau Tahu.

“Boleh dikatakan ‘Tahu’ adalah jenama kami dan peminat sendiri menyedarinya. Bila keluar lagu berjudul ‘Tahu’ pasti orang akan ingat dengan Projector Band.

“Apapun, kami sebenarnya tak rancang pun untuk menggunakan judul ‘Tahu’ itu sehingga kini. Tapi, apabila orang mula kenal kami menerusi Sudah Ku Tahu, ia lebih baik terus dijadikan ‘trademark’,” katanya.

Masih relevan

Ditanya adakah kehadiran bakat baru yang ramai memberi satu cabaran buat Projector Band untuk terus kekal relevan dalam industri, Angah berkata memang benar bukan mudah untuk mereka bertahan sehingga kini.

Namun katanya satu perkara yang dipegang Projector Band adalah sentiasa pastikan muncul dengan dua lagu dalam setahun supaya pendengar tidak lupa.

“Industri hiburan tanah air akan sentiasa didatangi penyanyi baharu, jadi kami tidak mahu ketinggalan dan perlu terus mengeluarkan lagu.

“Lagipun, kalau dikira dalam industri kita tak banyak band yang betul-betul aktif dan itu adalah peluang kami untuk menyerlah,” katanya.

Sementara itu, Projector Band juga menafikan berselisih faham dengan pemain gitar mereka, Zainal Amir Hamzah menyebabkan pengunduran diri berlaku akhir tahun lalu.

Angah berkata, ia berlaku di atas kerelaan Zainal dan kami akur dengan keputusannya mahu keluar daripada kumpulan.

“Sebenarnya tiada apa-apa yang berlaku dalam Projector Band, cuma Zainal menarik diri disebabkan dia bekerja tetap sebagai penjawat awam.

“Jadi, disebabkan komitmen itu dia memilih untuk keluar daripada kumpulan ini sejak akhir tahun lalu. Kami berlapang dada dan tidak ambil hati langsung.

“Lagipun dia kawan baik kami. Sebelum Projector Band ditubuhkan pun, kami sudah berkawan rapat dan tiada apa yang perlu kami marahkan kerana itu pilihan Zainal,” katanya.

Menurut Angah, walaupun sedih dengan keputusan Zainal, kumpulan itu tetap meneruskan kerjaya muzik diceburi mereka seperti biasa.

“Setakat ini kami belum ada sebarang perancangan untuk membawa masuk anggota baru. Kami rasa Projector Band sesuai dengan empat orang ahli saja.

“Lagipun kami sudah saling kenal dan faham perangai masing-masing. Namun, jika ada undangan nyanyian yang memerlukan pemain gitar atau keyboard, kami selalunya akan dibantu rakan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 6:30 AM