WALI Band dan Floor88 berduet menerusi lagu Cari Jodoh.
WALI Band dan Floor88 berduet menerusi lagu Cari Jodoh.
SEBAHAGIAN daripada penonton yang membanjiri Zepp, Kuala Lumpur dalam Konsert Dream Collaboration Vol.2.
SEBAHAGIAN daripada penonton yang membanjiri Zepp, Kuala Lumpur dalam Konsert Dream Collaboration Vol.2.
Ramlah Zainal


GANDINGAN mantap dua band popular dari Indonesia dan Malaysia iaitu Wali Band dan Floor88 sempena Konsert Dream Collaboration Vol.2 memukau 2,000 penonton membanjiri Zepp, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ternyata peminat juga tidak melepaskan peluang sama-sama menyanyi dengan kumpulan popular dari negara seberang yang cukup dikenali dengan lagu tema kerohanian itu selepas lebih lima tahun mereka tidak beraksi di sini.

Bukan sekadar berhibur, Wali Band juga mengajak penonton untuk sama-sama mendekatkan diri dengan sang pencipta menerusi rangkaian lagu popular mereka yang masih menjadi siulan peminat hingga hari ini.

Selain teruja bertemu peminat di Malaysia, vokalis Wali Band, Faank atau nama sebenar Farhan Zainal Muttaqin juga mendoakan penonton yang hadir pada konsert malam itu juga dipermudahkan segala urusan hidup terutama dalam soal hutang, jodoh dan alam pekerjaan.

"Saya doakan peminat yang hadir konsert pada malam ini dapat menyelesaikan hutang yang ada, kalau masih mencari kerja, segera mendapat kerja dan kalau belum bertemu jodoh akan bertemu jodohnya, Amin Ya Allah," katanya.

Pada masa sama, Faank juga bersyukur kerana lagu popular mereka berjudul Cari Jodoh juga mendapat sambutan baik dari peminat di Malaysia.

"Semuanya kerana ketentuan Allah SWT. Kami juga dalam proses merakamkan single baharu dan semoga ia juga diterima peminat termasuk di Malaysia," katanya ketika sidang media sebelum konsert.

Selain Faank, kumpulan yang ditubuhkan sejak 1999 ini dianggotai Ihsan Bustomi (pemain dram), Aan Kurnia (Apoy/gitar) dan Hamzah Shopi (Ovie/keyboard).

Faank juga meneruskan persembahan pada malam itu dengan beberapa rangkaian lagu kerohanian seperti Cari Berkah, Maksiat, Kekasih Halal, Ada Gajah Di Balik Batu, Yank dan Aku Bukan Bang Toyib.

FAANK tampil persembahan mantap di pentas.
FAANK tampil persembahan mantap di pentas.

Tidak ketinggalan, lagu Si Udin Bertanya, Nenekku Pahlawanku, Emang Dasar, Puaskah, Dik, Doaku Untukmu Sayang dan Baik-Baik Sayang.

Sementara itu, kumpulan Floor88 yang turut dikenali dengan lagu tema nasihat pula membuka tirai persembahan pada malam itu menerusi rangkaian lagu popular mereka seperti 24434, Chikadun, Zalikha, Roadblock Hatiku, Kong Kali Kong dan Hutang.

Persembahan kemuncak, sekali gus penutup konsert pada malam itu pastinya untuk menyaksikan Wali Band dan Floor88 berkongsi pentas menerusi lagu popular Wali Band iaitu Cari Jodoh yang turut menarik penonton untuk sama menyanyi dengan mereka.

Selain Ayie Ilham selaku vokalis, kumpulan Floor88 juga dianggotai Eric Fuzi (keyboard), Achoi (gitar), Falique (bass), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua).

AYIE mengajak penonton menyanyi bersama.
AYIE mengajak penonton menyanyi bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 6:20 AM