Mohd Sabran Md Sani


LAGU bertajuk Derita Cinta menjadi kenangan kepada keluarga Allahyarham Muhammad Fadizrul Azraain Billah Zulkifly, 23, atau lebih dikenali sebagai ‘Angah’, apabila liriknya ditulis dan dinyanyikan sendiri oleh Angah.

Lirik lagu itu juga seolah-olah menggambarkan perasaan Angah yang akan meninggalkan keluarganya untuk selama-lamanya akibat empat penyakit kanser yang dihidapinya.

Rakaman lagu yang dinyanyikan Angah dalam telefon bimbitnya hanya disedari oleh keluarganya selepas dia meninggal dunia akibat kanser hidung, hati, paru-paru dan selaput otak, Ahad lalu.

Bapanya, Zulkifly Mohamed berkata, berdasarkan tarikh di telefon bimbit itu, rakaman dibuat pada 26 April lalu iaitu ketika arwah pulang ke rumah selepas selesai menjalani rawatan kemoterapi.

“Saya tidak menyangka Angah menulis lirik sebegitu seolah-olah tahu dirinya akan meninggalkan keluarga buat selama-lamanya. Ketika itu dia masih lagi sihat dan bersendirian dalam biliknya.

“Rakaman nyanyian bertajuk Derita Cinta itu ditemui keluarga menerusi telefon bimbitnya selepas dia meninggal dunia Ahad lalu. Lirik lagu dihasilkan Angah seperti dia sudah rasa akan pergi selama-lamanya.

"Antara lirik lagu itu, ‘Sedetik kau lafazkan kata cinta, Ku diam dan merelakan segala, kubenarkan kau bertakhta, namun berakhir dengan derita’. Lirik lagu penuh kesedihan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, Angah yang juga gitaris kedua kumpulan Nota Band sebenarnya pernah berkongsi lagu yang dihasilkan bersama Dayat AD (anggota Nota Band) dalam FB miliknya, namun ramai tidak menyedari perkongsian lagu itu.

“Lagu yang dikongsikan kumpulan Nota Band itu dinyanyikan semula oleh vokalisnya, Yusof Sulaiman atau Usop dan tular hari ini," katanya.

Sementara itu FB Nota Band Offocial berkongsi dedikasi penghargaan kepada Angah kerana mengilhamkan lirik lagu berkenaan kepada kumpulan itu.

“Terima kasih Angah kerana ilhamkan sesuatu yang indah buat kawan-kawan dan Nota Band,” kata kumpulan itu berkongsi dedikasi penghargaan.

"Selepas empat hari Allahyarham Angah pergi meninggalkan kita, terlalu banyak kenangan kami bersama arwah semasa bersama NotaBand dan amat terasa kehilangannya.

“Sebelum arwah Angah pergi, arwah sempat merakamkan sebuah lagu bersama Along (abang sulung Angah, Muhammad Fadzizrul Azraain Billah) yang juga anggota Nota Band," katanya berkongsi coretan.

Lagu itu hasil ciptaan Dayat AD dan liriknya oleh arwah sendiri dan kini Nota Band mula merakamkannya semula dalam versi akustik yang bertajuk Derita Cinta.

Lagu berdurasi tiga minit dan dua saat dikongsi menerusi https://www.facebook.com/notabandofficial.

Angah dikesan menghidap kanser sejak Mac tahun lalu dan sejak itu, dia menjalani pelbagai rawatan termasuk kemoterapi dan badannya kehilangan lebih separuh berat badannya dari 70 kilogram (kg) kepada hanya 30 kg.

Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ibrahim (HSI), pada jam 8.08 pagi, Ahad lalu.

Berita berkaitan:

  • Angah sudah tiada
  • Simpati untuk Angah
  • 'Doa tak putus buat Angah'
  • 'Angah nak sihat...'[METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 7:21 PM