LOKASI kejadian kanak-kanak lelaki melecur 70 peratus anggota badannya selepas terkena arus elektrik di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Kampung Sentol, Pos Betau, Lipis, Khamis lalu. FOTO Ihsan Pembaca
LOKASI kejadian kanak-kanak lelaki melecur 70 peratus anggota badannya selepas terkena arus elektrik di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Kampung Sentol, Pos Betau, Lipis, Khamis lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Amin Ridzuan Ishak


KANAK-KANAK lelaki Orang Asli melecur 70 peratus anggota badannya selepas terkena arus elektrik di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Kampung Sentol, Pos Betau, dekat Lipis, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, bagaimanapun bapa kepada kanak-kanak berusia sembilan tahun itu hanya membuat laporan polis memaklumkan kejadian itu di Balai Polis FELDA Sungai Koyan, dekat sini, semalam.

Katanya, siasatan mendapati bapa dan kanak-kanak itu yang berasal dari Kampung Simoi datang ke lokasi kejadian kira-kira 12 tengah hari untuk menggunakan telefon kerana difahamkan hanya kawasan Kampung Sentol mempunyai liputan telekomunikasi.

“Ketika bapanya menggunakan telefon, kanak-kanak itu masuk ke dalam pencawang melalui pagar yang roboh tanpa disedari bapanya.

“Bapa kanak-kanak malang berkenaan hanya menyedari anaknya memasuki ke situ selepas mendengar bunyi letupan. Anaknya melecur 70 peratus dan dibawa bapanya ke klinik kesihatan berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Azry Akmar berkata, keadaan kanak-kanak itu kini dilaporkan stabil, namun pemantauan berterusan perlu diberikan terhadapnya.

“Saya difahamkan pihak berkuasa sudah memasang pagar bagi mengelakkan mana-mana individu menceroboh atau kanak-kanak bermain di dalamnya.

“Kita menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak masing-masing bagi mengelakkan mereka bermain di lokasi berbahaya seperti pencawang elektrik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 9:46 AM