Penduduk Orang Asli Kampung Tual B di Pos Senderut menunjukan laluan gajah masuk ke kampung mereka sebelum ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Penduduk Orang Asli Kampung Tual B di Pos Senderut menunjukan laluan gajah masuk ke kampung mereka sebelum ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Kemajuan Masyarakat Orang Asli (Jakoa) Pahang akan mengadakan perbincangan dengan penduduk Kampung Simoi dan Kampung Tual di Pos Senderut, Lipis berhubung bantahan pembinaan pagar elektrik bagi menghalang pencerobohan kumpulan gajah ke kampung terbabit.

Pengarahnya, Johari Alwi berkata perbincangan yang turut disertai pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang lebih kepada usaha memberi penjelasan terhadap kepentingan pagar elektrik kepada keselamatan penduduk setempat.

Menurutnya, cadangan membina pagar elektrik dibuat oleh Perhilitan yang mempunyai kepakaran dalam membendung ancaman gajah di negeri ini.

"Sekiranya penduduk Orang Asli di Kampung Simoi dan Kampung Tual tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan pagar itu, perbincangan lanjut akan dibuat sehingga jalan penyelesaian yang terbaik dapat dicapai," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, difahamkan penduduk Orang Asli di Kampung Simoi dan Kampung Tual tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan pagar elektrik kerana mendakwa mengundang bahaya terutama dikalangan kanak-kanak yang bermain berhampiran pagar terbabit.

Johari menambah, Perhilitan mempunyai kepakaran dan berpengalaman luas dalam menjaga hidupan liar selain menguruskan kes berkaitan gajah liar yang menceroboh kawasan penempatan penduduk, Jakoa hanya mengikut cadangan diberikan.

"Bagi pihak Jakoa keselamatan penduduk sentiasa diberi keutamaan, kita tidak mahu kes kematian disebabkan serangan gajah terus berulang.

"Tidak mustahil selepas ini kumpulan gajah akan menceroboh kampung Orang Asli untuk mencari makan, kebun pisang dan buah-buahan lain menjadi sasaran haiwan liar berkenaan.

"Sekiranya projek membina pagar elektrik menghalang gajah daripada menceroboh dua kampung di Pos Senderut berjaya dilaksanakan, ia adalah projek pertama di Lipis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 4:20 PM