Nurul Fhatihah Zakinan


KEHADIRAN empat pasangan kembar diiringi ‘hulubalang’ berbusana pahlawan Melayu menyambut kemasukan murid Tahun Satu mencuri tumpuan pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat, Merlimau, Jasin, hari ini.

Empat pasangan kembar berkenaan, Muhammad Danial Azlan dan Muhammad Danish, Nurain Amirah Abdul Malek dan Nurain Athirah, Muhammad Nur Airie Ahmad Redzuan dan Muhammad Nur Airil serta Mior Rafieq Hazieq Mohd Rosdy dan Mior Razieq Harith.

Mereka diiringi Persatuan Seni Silat Gerak Tepat Umbai dan Gerbang Melayu Melaka (GBM) diketuai Timbalan Pengerusi GBM, Hisham Jaafar, dengan lima ahli bersama alat permainan muzik seperti gendang anak, gendang ibu, gong, dan serunai.

Empat pasangan kembar yang masing-masing ditempatkan dalam satu kelas itu turut menarik perhatian dari segi gaya rambut dan perkakasan sekolah seperti beg sama selain membuatkan kebanyakan guru tidak dapat membezakan mereka.

Ibu kepada Nurain Amirah dan Nurain Athirah, Zabariah Zainuddin, 46, berkata kedua-dua anaknya itu bersemangat untuk ke sekolah apabila bangun sendiri seawal 5 pagi.

“Seminggu sebelum bersekolah lagi mereka berdua menghitung hari dan asyik bertanya bila sekolah bermula dan sudah beberapa kali memperagakan dan mencuba pakaian seragam sekolah yang baharu dibeli," katanya yang ditemui di sini.

Zabariah berkata, pemilihan kasut sekolah putih bagi anak mereka pula kerana mahu membiasakan diri berdikari dan berdisiplin berbanding kasut hitam.

“Jika pakaikan kasut hitam, tidak nampak kotor yang mahu dicuci," katanya yang turut ditemani suami, Abdul Malek Abdullah, 46.

Sementara itu, ibu kepada Muhammad Danial dan Muhammad Danish, Zanawati Zakaria, 44, berkata, sebagai ibu bapa, mereka perlu bekerjasama dengan guru bagi menilai prestasi anak berikutan pentaksiran sekolah bukan berasaskan peperiksaan mulai tahun ini.

“Jika ada peperiksaan, kita boleh menilai prestasi anak-anak, jika tiada, kita sendiri perlu menilai lebih lagi," katanya ditemani suaminya, Azlan Ahmad, 46.

Sementara itu, Guru Besar SK Serkam Darat, Abu Hassan Ahmad, berkata seramai 97 murid Tahun Satu mendaftar tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan murid di sekolah berkenaan seramai 567 orang.

Katanya, kesemua pasangan kembar berkenaan ditempatkan di kelas sama bagi mengelak langkah pengasingan mengganggu proses pembelajaran.

“Ini kali pertama sekolah menerima empat pasangan kembar berbanding sebelum ini hanya satu atau dua pasangan. Kita juga menjemput pemuzik bagi menceriakan dan memberi motivasi kepada murid sekolah selain memeriahkan suasana sekolah pada hari pertama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 10:23 AM
EMPAT pasangan kembar bersama sebelum diarak ke bilik darjah sempena kemasukkan murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan Serkam Darat, Merlimau. FOTO Rasul Azli Samad
EMPAT pasangan kembar bersama sebelum diarak ke bilik darjah sempena kemasukkan murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan Serkam Darat, Merlimau. FOTO Rasul Azli Samad