MUHAMMAD Izz Hazim (kiri) dan abangnya,Muhammad Izz Haziq (kanan) bersama Muhammad Azmi pada Majlis Sumbangan Jom Balik Sekolah 2021 di Dewan Seri Siantan.FOTO Samadi Ahmad
MUHAMMAD Izz Hazim (kiri) dan abangnya,Muhammad Izz Haziq (kanan) bersama Muhammad Azmi pada Majlis Sumbangan Jom Balik Sekolah 2021 di Dewan Seri Siantan.FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

Putrajaya: "Kami gembira menerima sumbangan ini kerana pakaian seragam sekolah dan kasut tidak lagi muat digunakan. Kami banyak habiskan masa di rumah sepanjang Perintah kawalan Pergerakan (PKP)," ujar abang pasangan kembar, Muhammad Izz Hazim Mohd Munzir, lapan tahun.

Hazim dan kembarnya, Muhammad Izz Haziq begitu teruja untuk kembali memulakan sesi persekolahan baru pada tahun hadapan selepas menerima sumbangan kelengkapan pakaian sekolah.

Pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 18 (2) itu antara 200 penerima bantuan sempena Program Jom Kembali Ke Sekolah 2021 anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) di Dewan Seri Siantan di sini, tadi.

Hazim berkata, dia gembira kerana dapat memakai pakaian baharu pada sesi persekolahan tahun depan selain kelengkapan lain.

Katanya, dalam program ini dia menerima sumbangan baucer kelengkapan sekolah berjumlah RM100, beg dan alat tulis.

"Bantuan ini memberikan semangat kepada saya untuk ke sekolah seterusnya belajar bersungguh-sungguh," katanya.

Sementara itu Muhammad Izz Haziq berkata, mereka gembira menerima sumbangan itu selain dapat meringankan tanggungan ibu bapa untuk menyediakan kelengkapan sekolah.

Pasangan kembar ini adalah anak kepada pembantu operasi di Suruhanjaya Kehakiman di Putrajaya, Mohd Munzir Ahmad,35, manakala ibunya seorang suri rumah, Iskamariza Ismail, 38.

Selain pasangan kembar ini penerima lain membabitkan pelajar SK dan Sekolah Menengah di Putrajaya dalam kalangan golongan miskin asnaf dan B40.

Bantuan disampaikan Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 5:14 PM