GELAGAT tiga pasangan kembar Muhammad Syits Daniel dan Muhammad Syits Danish  (dari kiri), A Yasheca dan A Yashela, Muhammad Farish Zafran dan Muhammad Farish Zafril ketika hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Silibin, Ipoh. FOTO Effendy Rashid
GELAGAT tiga pasangan kembar Muhammad Syits Daniel dan Muhammad Syits Danish (dari kiri), A Yasheca dan A Yashela, Muhammad Farish Zafran dan Muhammad Farish Zafril ketika hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Silibin, Ipoh. FOTO Effendy Rashid
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Gelagat tiga pasang kembar seiras antara yang mencuri tumpuan pada hari pertama persekolahan murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Silibin di sini, semalam.

Mohamad Syits Daniel Shamsuri, 7, dan adik kembarnya, Mohamad Syits Danish, Muhammad Farish Zafran Mohamed Firdaus, 7, bersama abangnya Muhammad Farish Zafril serta pasangan kembar A Yasheca dan A Yashela datang dengan wajah ceria ditemani ibu serta bapa walaupun dipisahkan, masing-masing dengan kelas yang berbeza.

Bapa kepada pasangan kembar Muhammad Farish Zafril dan Muhammad Farish Zafran, Mohamed Firdaus Abdullah, 33, berkata, kedua-dua anaknya itu begitu bersemangat untuk ke sekolah walaupun tidak menjalani pra sekolah di sekolah berkenaan sebagaimana dua lagi pasangan kembar berkenaan.

“Seminggu sebelum bersekolah lagi mereka berdua asyik bertanya bilakah persekolahan bermula hinggakan dua hari lepas mereka siap memperagakan pakaian seragam sekolah yang baru dibeli,” katanya.

Sementara itu, bapa Mohamad Syits Daniel dan Mohamad Syits Danish, Shamsuri Saad, 37, berkata, biarpun kedua-dua anaknya itu agak terbiasa dengan suasana sekolah berkenaan berikutan menjalani pra sekolah di situ, kesedihan jelas terpancar pada riak muka kedua-dua anaknya apabila diasingkan ke kelas berbeza.

“Mereka begitu terbiasa bersama hinggakan agak cerewet sekiranya dibelikan barang atau peralatan yang berbeza dengan pasangannya walaupun dari sudut warna apatah lagi ini merupakan kali pertama mereka dipisahkan,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Silibin, Badrul Hisham Yusoff berkata, seramai 93 murid Tahun Satu mendaftar di sekolah berkenaan pada tahun ini yang menjadikan jumlah keseluruhan murid di sekolah berkenaan seramai 512 orang.

Katanya, ketiga-tiga pasangan kembar itu hanya akan dipertemukan semula dengan pasangan kembar masing-masih ke dalam satu kelas sekiranya langkah pengasingan itu mengganggu proses pembelajaran.

Bagaimanapun, difahamkan setakat ini, tiada masalah timbul apabila ketiga-tiga pasangan kembar berkenaan diasingkan.

Dalam pada itu, sejumlah 32,774 murid tahun satu memulakan hari pertama sesi persekolahan 2018 di seluruh Perak semalam.

Pengarah Pendidikan negeri Datuk Mat Lazim Idris berkata, daripada jumlah itu, 23,859 murid bersekolah di Sekolah Kebangsaan; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (7,113); Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (1,709) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan seramai 93 murid.

Menurutnya, bagi pelajar tingkatan satu pula, seramai 34,817 mendaftar di sekolah menengah seluruh negeri.

“Hari pertama sesi persekolahan hari ini berjalan lancar dan semua sekolah beroperasi walaupun terdapat beberapa sekolah mempunyai sekolah kurang murid,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 8:13 AM