Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani (lima kanan barisan depan) bersama empat pasangan kembar ketika melakukan tinjuan pembukaan sekolah untuk tahun satu dan empat di SK Pusat Cabang Tiga, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani (lima kanan barisan depan) bersama empat pasangan kembar ketika melakukan tinjuan pembukaan sekolah untuk tahun satu dan empat di SK Pusat Cabang Tiga, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


EMPAT pasangan kembar tahun satu menceriakan pembukaan sekolah untuk tahun satu dan empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Cabang Tiga, di Kuala Terengganu, hari ini.

Empat pasangan kembar iaitu Amsyar Ziqri, Amzar Ziqri Zainudin, Nur Alya Sofia, Nur Alya Damia Rosli Muhammad Rayyan Haziq, Muhammad Rayyan Hafiq Mohd Nazari serta Wan Ameera Balqis dan Wan Amanda Balqis Mohd Shukri.

Pasangan kembar yang juga murid tahun satu itu jelas ceria memulakan hari pertama sesi persekolahan selepas ditutup hampir empat bulan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan penularan wabak Covid-19.

Walaupun empat pasangan kembar itu terpaksa duduk berjauhan antara satu sama lain berikutan arahan penjarakan sosial dalam kelas, tetapi mereka tidak kekok untuk memulakan hari pertama kebiasaan baharu persekolahan.

Kehadiran mereka lengkap memakai pelitup muka, dihantar ibu bapa masing-masing dan seperti murid lain perlu melalui ujian suhu badan sebelum masuk ke kelas dengan diiringi guru.

Tinjauan mendapati pengurusan sekolah membuka 10 kuanter untuk melakukan ujian suhu badan terhadap kira-kira 1,007 murid termasuk untuk tahun satu dan empat yang memulakan sesi persekolahan hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani berkata, seramai 84,114 murid tahun satu dan empat daripada 352 sekolah rendah memulakan sesi persekolahan hari ini.

Menurutnya, hasil tinjauan mendapati semua pengurusan sekolah mematuhi dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk melakukan ujian suhu badan setiap murid.

"Ibu bapa murid diminta memberi kerjasama terutamanya membekalkan makanan dan minuman kepada anak mereka.

"Kita tidak galakkan murid ke kantin untuk membeli makanan dan minuman berikutan kebimbangan berlakunya kecuaian penjarakan sosial," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Cabang Tiga, di Kuala Terengganu, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 3:50 PM