Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: "Teruja, sebak dan gembira," kata sepasang suami isteri yang menempuh pengalaman pertama menghantar anak ke sekolah pada sesi persekolahan 2023, hari ini.

Berkongsi pengalaman itu, Noor Hidayah Mokhtar, 37, berkata, dia bersama suami, Mohd Idham Chek Om, 33, sudah lama menunggu saat itu apabila sebelum ini hanya mampu melihat dan berkongsi kegembiraan rakan dan saudara mara yang menghantar anak ke sekolah.

Noor Hidayah yang memiliki anak kembar, Nur Atiah dan Nur Ayra berkata, dia bersama suami yang bekerja sebagai mekanik memperuntukkan RM400 bagi membeli persiapan persekolahan termasuk buku latihan.

"Saya akui sangat teruja melihat anak melangkah ke alam persekolahan. Walaupun sebelum ini saya hantar mereka ke tadika, namun perasaan itu tidak sama," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Chabang Tiga, di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua anaknya turut teruja untuk menempuh alam persekolahan sebenar.

"Malam tadi mereka tidur awal jam 8 malam dan dan tidak sabar untuk mengenakan pakaian sekolah. Kalau malam-malam sebelum ini, mereka tidur lewat, malah pagi tadi jam 6 pagi mereka sudah bangun untuk ke sekolah," katanya yang tinggal di Kampung Losong Haji Long, di sini.

Sementara itu, pasangan kembar berkenaan berkata, mereka tidak sabar untuk memasuki kelas dan bertemu rakan baru.

"Malam tadi saya dan adik, Nur Ayra tidur jam 8 malam selepas siap menyediakan segala kelengkapan sekolah.

"Sudah lama kami teringin nak ke sekolah, sebelum ini saya dan adik belajar di tadika tetapi tidak sama dengan sekolah sebenar," kata Nur Atiah, 7.

Pasangan kembar yang memiliki adik lelaki, Muhammad Aariz Azim, 4, itu berkata, mereka berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan memberi contoh terbaik kepada adik yang bakal memasuki alam persekolahan pada 2026.

Nur Atiah dan Nur Ayra adalah antara 178 murid tahun satu sesi persekolahan akademik 2023/2024 di SK Pusat Chabang Tiga.

Secara keseluruhan seramai 22,193 murid tahun satu memulakan sesi persekolahan 2023/2024 di 352 sekolah rendah di seluruh negeri ini.

Gelagat pasangan kembar, Nur Atiah Mohd Idham (kiri) dan Nur Ayra murid Tahun Satu hadir pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Chabang Tiga. FOTO GHAZALI KORI
Gelagat pasangan kembar, Nur Atiah Mohd Idham (kiri) dan Nur Ayra murid Tahun Satu hadir pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Chabang Tiga. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 3:38 PM