DUA daripada tiga pasangan kembar (dari kiri) Anis Najiha Anuar, Norsyazwana Mat Sukri, Anis Syuhada Anuar dan Nursyazwani Mat Sukri berkenalan antara satu sama lain. FOTO Sharul Hafiz Zam
DUA daripada tiga pasangan kembar (dari kiri) Anis Najiha Anuar, Norsyazwana Mat Sukri, Anis Syuhada Anuar dan Nursyazwani Mat Sukri berkenalan antara satu sama lain. FOTO Sharul Hafiz Zam
Suzalina Halid


Alor Setar: Kehadiran tiga pasangan kembar memulakan sesi persekolahan Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Abu Bakar, dekat sini, mewarnai suasana dengan ragam mereka yang tersendiri.

Pada hari pertama persekolahan di Kedah itu, seorang daripada pasangan kembar seiras berusia tujuh tahun, Anis Najihah Anuar dan Anis Syuhadah Anuar menangis berikutan ditinggalkan ibu bapa mereka di sekolah itu.

Berlainan pula ceritanya dengan Muhammad Akif Darwisy Zurean apabila terpaksa datang tanpa pasangan kembar berikutan abangnya, Muhammad Afif Darwisy Zurean demam.

Sepasang kembar lain, Norsyazwana Mat Sukri dan Nursyazwina Mat Sukri pula kelihatan agak sedih kerana terpaksa berpisah antara satu sama lain ekoran kelas mereka berlainan.

Ibu mereka Rosnita Mohd Saad, 44, berkata, anak kembarnya itu amat teruja untuk mula bersekolah, malah sanggup bangun awal dan menyiapkan keperluan mereka secara berdikari.

"Namun sebaik tiba di sekolah adik agak sedih sikit sebab kakaknya berlainan kelas pula, namun saya harap lama-kelamaan mereka akan dapat biasakan diri.

"Selama ini mereka tak pernah berpisah semuanya dilakukan bersama baik dari segi mandi, bermain dan membuang air, " katanya yang ditemui di SK Haji Abu Bakar.

Norsyazwana pula berkata, dia berasa amat seronok untuk memulakan sesi persekolahan namun mengakui sedikit merindui adiknya yang duduk di kelas bersebelahan.

Tiga pasangan kembar itu antara 52 murid Tahun Satu yang memulakan sesi persekolahan di SK Haji Abu Bakar yang keseluruhannya mempunyai 310 murid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 12:31 PM