Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Dua pasangan kembar teruja apabila menerima sumbangan kasut, beg, alat tulis dan pakaian sekolah untuk memulakan sesi persekolahan baru, minggu hadapan.

Mereka adalah empat daripada 150 anak asnaf yang menerima bantuan persekolahan sempena Program Kembali Ceria ke Sekolah, hari ini.

Penerima, Muhammad Farhan Muhammad Rusydi, 12, berkata dia gembira dapat memakai pakaian baharu bersama abang kembarnya, Muhammad Fakhri kerana tidak mahu meminta daripada ibu mereka, Rosnani Md Nor, 42.

"Kami bukan daripada keluarga berada kerana ibu hanya bekerja sebagai penoreh getah. Kami ingatkan hanya dapat baju sekolah sahaja, Alhamdulillah, ada juga beg, alat tulis dan kasut.

"Sekarang kami rasa lebih bersemangat untuk ke sekolah dan berjanji akan belajar dengan lebih bersungguh-sungguh," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Thirdforce Rantau Panjang, di sini.

Penerima lain, Hanun Hanif, 29, berkata dia bersyukur kerana anak kembarnya, Hariz Aniq Boonnam dan Haraz Anat Boonnam, 6, turut menerima sumbangan kelengkapan sekolah.

"Saya berasa lega kerana tidak perlu mencari wang bagi mendapatkan baju serta kasut sekolah anak kembar selepas mereka menerima sumbangan ini.

Dua pasangan kembar menerima sumbangan kelengkapan sekolah sempena Program Kembali Ceria ke Sekolah yang diadakna di Bilik Gerakan Thirdforce Rantau Panjang, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Dua pasangan kembar menerima sumbangan kelengkapan sekolah sempena Program Kembali Ceria ke Sekolah yang diadakna di Bilik Gerakan Thirdforce Rantau Panjang, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

"Anak-anak saya juga teruja dan bangun di awal pagi untuk bersiap ke program ini kerana tidak sabar untuk mendapatkan kelengkapan sekolah.

"Terima kasih kepada Yayasan Raja Shamri (YRS) kerana sudi meringankan beban kami untuk membeli barangan sekolah anak-anak," katanya yang juga ibu kepada empat cahaya mata.

Sementara itu, Pengasas YRS, Raja Shamri Raja Husin, berkata pihaknya memperuntukkan RM300,000 untuk sumbangan kelengkapan sekolah kepada 1,500 penerima di seluruh negara.

Menurutnya, program ini diadakan bagi membantu anak-anak golongan asnaf menerusi hasil sumbangan penyumbang secara konsisten melalui YRS.

"YRS turut mengalu-alukan kerjasama pihak sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menjaya program sebegini pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 4:22 PM