Baharom Bakar

Kuala Nerus: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri kecewa dengan sikap orang ramai yang tidak mengendahkan larangan pihak berkuasa agar menjauhi kawasan pantai untuk menyaksikan fenomena ombak besar.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, masih ada dalam kalangan masyarakat mengambil kesempatan pergi ke Pantai Seberang Takir atau Pantai Miami di sini, semalam.

"Walaupun laluan dari Seberang Takir ke pusat bandar raya sudah ditutup kepada semua lalu lintas tetapi masih terdapat masyarakat memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk merakamkan gambar serta menyaksikan percikan air, " katanya ketika ditemui selepas membuat pemantauan keadaan ombak besar dan angin kencang di Pantai Seberang Takir atau Pantai Miami.

Menurutnya, kedegilan masyarakat menyebabkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memutuskan menempatkan pegawai dan anggota bertugas 24 jam di lokasi berkenaan.

Che Adam A Rahman (kiri) bersama anggotanya melakukan tinjauan di pesisir Pantai Seberang Takir hari ini berikutan fenomena ombak besar. Foto Farizul Hafiz Awang
Che Adam A Rahman (kiri) bersama anggotanya melakukan tinjauan di pesisir Pantai Seberang Takir hari ini berikutan fenomena ombak besar. Foto Farizul Hafiz Awang

Sementara itu, Che Adam berkata, pihaknya sentiasa bersiapsiaga menghadapi cuaca buruk seperti diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Katanya, bilik gerakan bencana di semua daerah dan pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibuka untuk menempatkan mangsa.

Menurutnya, hujan renyai dan kadang-kadang lebat dilaporkan berlaku di beberapa daerah di negeri ini.

"Penduduk yang tinggal berhampiran sungai di negeri ini diminta bersedia berpindah susulan kawasan itu berisiko dilanda banjir jika keadaan itu berterusan hingga ke tengah malam selain berlakunya fenomena air pasang besar.

"Sehingga petang tadi, taburan hujan tidak memberi kesan kepada paras air cuma kita khuatir jika hujan berterusan pada lewat petang hingga ke malam ini dengan disertai air pasang besar yang berisiko menyebabkan banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 9:57 PM