Keadaan di Pantai Kundur, Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Keadaan di Pantai Kundur, Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Orang ramai terutama mereka yang menetap di kawasan berdekatan pantai perlu lebih berwaspada dan bersedia berikutan fenomena air pasang boleh mengakibatkan banjir jika berlaku serentak dengan hujan lebat.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku ketika Monsun Timur Laut bermula 3 November lalu dan dijangka berlarutan hingga Mac tahun hadapan.

Menurutnya, pada fasa awal Monsun Timur Laut bermula bulan ini hingga awal Januari tahun hadapan, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor diikuti Sarawak serta Sabah pada awal Januari serta Februari tahun hadapan.

"Fenomena air pasang ini berlaku apabila bulan berada pada 'lunar perigee' (jarak di antara bulan dan bumi yang terdekat), daya tarikan graviti bulan ke atas bumi meningkat serta mengakibatkan paras air laut ketika air pasang meningkat daripada biasa.

"Air pasang dan surut adalah fenomena yang biasa berlaku setiap hari, namun air pasang besar boleh berlaku beberapa kali dalam setahun dengan magnitud berbeza.

"Jika hujan lebat berterusan dan serentak dengan kejadian air pasang, besar kemungkinan banjir boleh berlaku terutama di kawasan berkedudukan rendah dan kerap banjir," katanya kepada Harian Metro bagi mengulas fenomena air pasang besar yang melanda beberapa negeri minggu ini.

Menurutnya, keadaan banjir boleh menjadi lebih buruk jika fenomena itu berlaku serentak dengan luruan ribut serta tiupan angin Timur Laut yang mengakibatkan ombak besar dan laut bergelora.

"Orang ramai terutama mereka yang tinggal di kawasan rendah dan kerap banjir dinasihatkan lebih berwaspada dan bersiap sedia ketika berlaku fenomena air pasang dan hujan lebat.

"Patuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa jika air pasang besar melanda kawasan masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini cuaca menerusi laman sesawang MetMalaysia, www.met.gov.my, hubungi 1-300-22-1638, ikuti media sosial rasmi atau muat turun aplikasi, myCuaca.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 5:10 PM