ANGGOTA APM melakukan pemantauan di kawasan yang sudah dinaiki air di Kampung Alor Gunung berikutan hujan lebat selain fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku mulai hari ini. FOTO ihsan APM
ANGGOTA APM melakukan pemantauan di kawasan yang sudah dinaiki air di Kampung Alor Gunung berikutan hujan lebat selain fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku mulai hari ini. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Lima daerah di negeri ini dijangka terjejas berlakunya banjir berikutan fenomena air pasang yang diramalkan berlaku bermula hari ini di seluruh negara.

Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, antara daerah terbabit adalah Alor Setar (Kuala Kedah), Kubang Pasu, Yan, Kuala Muda dan Langkawi.

Beliau berkata, fenomena air pasang ini dijangka berlaku bermula 14 Julai (hari ini) sehingga Ahad ini.

"Sekiranya berlaku hujan sangat lebat dan disertai angin kencang berkemungkinan kejadian ribut dan banjir air pasang ini akan berlaku di beberapa lokasi di negeri ini.

"Sehubungan itu, penduduk yang tinggal di pesisir pantai atau sungai dinasihatkan supaya berwaspada jika hujan lebat berterusan dan berpindah segera jika paras air meningkat di kawasan berkenaan serta menghubungi pihak berkuasa dengan segera," katanya ketika dihubungi hari ini.

Saifuddin berkata, jika hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan berlaku pertembungan air laut dengan Sungai Kedah, berkemungkinan besar akan berlaku banjir di beberapa kawasan rendah di daerah ini.

Katanya, antara kawasan yang berpotensi dinaiki air akibat fenomena air pasang di daerah ini adalah di Jeti Kuala Kedah, pelantar ikan Kampung Seberang Kota serta Taman Sri Putra dan Taman Seri Pantai di Kuala Kedah.

"APM Kedah mempunyai seramai 140 anggota untuk persediaan menghadapi bencana banjir serta fenomena air pasang ini.

"Malah, aset iaitu 38 bot dan 12 lori lima tan juga sudah bersedia untuk digunakan bagi persediaan menghadapi banjir air pasang ini," katanya.

Menurutnya lagi, setakat ini anggota APM Kedah sudah pun turun ke lokasi yang sudah dinaiki air berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu selain pemantauan di sungai di setiap daerah bagi memastikan paras air dalam keadaan terkawal.

Media hari ini melaporkan penduduk di kawasan pesisir pantai di seluruh negara disarankan agar berwaspada dengan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku bermula hari ini hingga Ahad.

Menerusi satu hantaran di Twitter, Pusat Hidrografi Nasional (PHN) memaklumkan fenomena itu berlaku disebabkan dipengaruhi oleh daya tarikan graviti bulan dan matahari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 3:38 PM