ALLAHYARHAM Mustaffa Daharun.
ALLAHYARHAM Mustaffa Daharun.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PESURUHJAYA PAS Negeri Sembilan, Mustaffa Daharun, 60, meninggal dunia akibat mengalami sesak nafas di Hospital Jempol, hari ini.

Anak keduanya, Najmuddin Rabbani, 29, ketika dihubungi NSTP, berkata bapanya disahkan meninggal dunia jam 8.12 pagi.

Katanya, bapanya mengadu sesak nafas selepas menunaikan solat Subuh di rumah mereka di Kuala Jempol, Jempol sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Pemeriksaan mendapati paru-paru bapa berair sebelum keadaan kesihatannya semakin buruk dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, arwah bapanya pernah menjalani pembedahan jantung sebelum ini.

Katanya, jenazah dibawa pulang ke rumah mereka untuk dimandi dan dikafankan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lalang, Kampung Kuala Jempol.

Difahamkan, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti dijangka akan menghadiri pengebumian Allahyarham yang akan dibuat selepas solat Zohor.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS negeri, Mohd Nasaruddin Baharuddin, menyifatkan pemergian arwah sebagai kehilangan besar.

“Arwah seorang individu yang berdedikasi, pemimpin yang baik dan begitu menyayangi Islam dan pelajar tahfiz,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 10:58 AM