ALLAHYARHAM, Kamaruzzaman Abdul Karim
ALLAHYARHAM, Kamaruzzaman Abdul Karim
Balqis Jazimah Zahari


BAPA kepada Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, meninggal dunia akibat sakit tua, hari ini.

Allahyarham Kamaruzzaman Abdul Karim, 93, menghembuskan nafas terakhir di sisi anaknya ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar, Ipoh pada 5.30 petang.

Ahmad Zaini ketika dihubungi berkata, arwah dimasukkan ke hospital selepas beberapa kali tidak sedarkan diri dan semakin lemah sejak semalam.

Katanya, sejak seminggu lalu, arwah kelihatan tidak bermaya dan beliau berada di kampung kira-kira dua hari lalu kerana beberapa kali arwah tidak sedarkan diri.

“Tengah hari semalam, saya balik semula ke Kuala Lumpur. Saya nampak dia nampak agar segar sedikit, namun pagi tadi kakak saya membawanya ke hospital kerana dia (arwah) semakin lemah.

“Doktor yang memeriksanya mendapati tekanan darah juga menurun dan terdapat sedikit jangkitan pada paru-paru.

“Allahyarham terus tidak sedarkan diri dan doktor mengesahkan meninggal dunia pada 5.30 petang,” katanya ketika dihubungi, di sini, malam tadi.

Ahmad Zaini berkata, arwah bapanya meninggalkan sembilan anak, 48 cucu dan 27 cicit.

Katanya, jenazah akan dibawa ke rumahnya di Kampung Sayong Lembah di Kuala Kangsar, di sini.

Beliau berkata, solat jenazah akan diadakan di rumah, esok dan Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sayong Tengah, 11.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 10:32 PM