AHLI keluarga mengusung jenazah Mohd Solehan (gambar kecil) untuk dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Gugusan Raja Alias, Jempol, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
AHLI keluarga mengusung jenazah Mohd Solehan (gambar kecil) untuk dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Gugusan Raja Alias, Jempol, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


ARWAH abang sempat menghubungi saya pada 5.15 pagi memaklumkan tayar keretanya bocor dan meminta bantuan. Saya tidak dapat membantunya kerana masih di kampung dan arwah beritahu akan menyelesaikannya sendiri.”

Begitu kata Mohd Ikram Mohd Nasir, 24, adik kepada Mohd Solehan, 32, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 269.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, hari ini.

Mohd Ikram yang menetap di Seremban berkata, dia sekeluarga pulang ke kampung di FELDA Raja Alias 2, Jempol sejak Jumaat lalu dan sempat bertemu arwah abangnya yang turut pulang bercuti pada Sabtu lalu.

Katanya, dia sepatutnya pulang ke Seremban, semalam tetapi menangguhkan hasrat itu kerana berasa tidak sedap hati.

“Kami hanya menerima berita kemalangan itu selepas dimaklumkan oleh keluarga kakak ipar yang datang ke rumah, jam 6.50 pagi.

“Saya sangat terkejut dengan kematian abang. Jika saya berada di rumah ketika itu sudah pasti saya pergi membantu abang,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurut Mohd Ikram, dia dan abangnya sangat rapat dan mereka kerap berkomunikasi menerusi aplikasi WhatsApp.

“Ketika di kampung saya melihat perubahan pada abang yang lebih banyak mendiamkan diri berbanding kebiasaan abang suka berbual mesra dengan keluarga. Malah, ayah juga memberitahu saya yang dia ada bermimpi mengenai kematian abang,” katanya.

Katanya, ketika kejadian Mohd Solehan bersama isteri dan tiga anak perempuan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur kerana perlu memulakan tugas sebagai kerani di FELDA Global Ventures (FGV), hari ini selepas bercuti selama lima hari.

Mengikut perancangan, Mohd Ikram berkata, arwah abangnya akan pulang semula ke kampung pada minggu depan bagi meraikan sambutan ulang tahun kelahiran anak sulungnya tetapi tidak kesampaian.

Jenazah Mohd Solehan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Raja Alias, Jempol selepas solat Asar hari ini.

Berita berkaitan

Tragedi pilu tukar tayar MPV

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 4:54 PM