BAYI melecur. FOTO Ihsan Bomba
BAYI melecur. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim


TINDAKAN pantas tiga pekerja pengubahsuaian rumah menerpa masuk ke dalam sebuah rumah yang terbakar di Taman Bukit Intan, Kuala Pilah, hari ini, menyelamatkan seorang bayi lelaki berusia 20 bulan daripada rentung.

Kejadian jam 11.40 pagi itu menyebabkan bayi terbabit melecur di tangan kanan dan cedera di muka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni berkata, ketika kejadian bayi terbabit dikatakan tidur, manakala ibu bapa dan dua abang berusia tiga serta empat tahun berada di luar rumah.

Menurutnya, kejadian disedari jiran yang melihat kepulan asap keluar dari rumah berkenaan lalu menjerit meminta tolong sebelum didengari tiga pekerja binaan berhampiran.

Katanya, tiga pekerja itu ke lokasi untuk membantu memadamkan kebakaran namun terdengar tangisan bayi dari dalam rumah lalu bertindak memecahkan pintu belakang dan berjaya menyelamatkan bayi.

Pada masa sama, jiran menghubungi bomba.

“Bomba menerima panggilan kejadian jam 11.49 pagi dan menghantar dua jentera dari BBP Kuala Pilah dan Seri Menanti.

“Sebaik tiba, kita mengawal kebakaran yang sudah merebak ke rumah jiran sebanyak lima peratus dan memadamkan kebakaran di rumah mangsa. Api berjaya dikawal sepenuhnya setengah jam kemudian.

“Bayi yang melecur dibawa oleh bapanya ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Eva Saifun berkata, berdasarkan siasatan awal, kebakaran dipercayai bermula di bilik utama, tetapi bomba masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 3:59 PM