HASNAH menunjukkan gambar Khadijah yang maut selepas terbabit dalam kemalangan. Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
HASNAH menunjukkan gambar Khadijah yang maut selepas terbabit dalam kemalangan. Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


“DUA minggu lalu, Kak Nik (Khadijah) ajak semua adik-beradik bergambar kenangan sempena kenduri seorang adik dan kami tidak sangka itu foto terakhir kami dengan arwah,” kata Hasnah Hussin.

Hasnah, 42, adalah adik kepada Khadijah, 61, antara lima yang maut dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Lipis-Benta berhampiran Simpang Taman Jelai, Lipis, pada 3.50 petang semalam.

Selain Khadijah, turut maut ialah suaminya, Mukhtar Hassan, 62, dan cucunya, Ahmad Fakhrul Muslim Ahmad Ridhwan, 2.

Manakala, anaknya Zalimawati, 34, dan seorang lagi cucunya, Zulaikha Basyirah Ahmad Ridwan, 10, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Hospital Kuala Lipis ketika mendapatkan rawatan, hari ini.

Hasnah berkata, hasrat untuk bergambar bersama disuarakan Khadijah kerana semua 12 adik-beradik mereka pulang bagi menghadiri kenduri itu.

“Kak Nik memanggil semua adik-beradik untuk merakamkan gambar kenangan sambil berkata, entah bila lagi boleh bergambar bersama.

“Kami tidak mengesyaki apa-apa kerana kebiasaannya kami memang akan bergambar jika ada sebarang majlis,” katanya ketika ditemui di rumah arwah di Taman Kelaboran Jaya, Tumpat, hari ini.

Dalam kejadian itu, Khadijah sekeluarga dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur kerana menghadiri majlis cukur jambul seorang cicitnya sebelum kereta Proton Waja yang dinaiki mereka bertembung dengan Perodua Myvi.

Pemandu Perodua Myvi yang dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis menghala ke Benta turut meninggal dunia di lokasi kejadian.

Proton Waja yang dipandu Mukhtar dinaiki lapan penumpang, dan tiga yang lain cedera ringan termasuk seorang lagi cucu Khadijah yang dipeliharanya sejak kecil yang dikenali sebagai Alif, 12.

Hasnah berkata, Alif yang juga anak sulung kepada Allahyarham Zalimawati masih trauma dan kini dalam perjalanan pulang bersama lima jenazah ahli keluarga untuk dikebumikan.

Semua jenazah akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelaboran, malam ini.

Berita berkaitan

[UPDATE] Dua lagi mangsa meninggal dunia

Empat maut, dua kereta bertembung

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 9:09 PM