FAIZAL menunjukkan gambar Ahmad Faris. FOTO Syamsi Suhaimi
FAIZAL menunjukkan gambar Ahmad Faris. FOTO Syamsi Suhaimi
Nor Fazlina Abdul Rahim

“SEHINGGA saat ini, mak hanya mengetahui seorang saja anaknya meninggal dunia dalam kemalangan dekat Lipis, hari ini.

“Kami tidak tahu bagaimana mahu memaklumkan perkara sebenar yang tiga anaknya meninggal dunia dalam kemalangan itu kerana bimbang keadaan kesihatan mak yang tidak begitu baik,” kata Faizal Mohamed, 31, ketika ditemui di kediamannya di Kampung Keluat, di Bachok.

Faizal adalah abang kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan meragut empat nyawa di Kilometer 19 Jalan Lipis-Merapoh, Padang Tengku, dekat Lipis, 9.40 pagi.

Dalam kemalangan itu, tiga beradik yang maut adalah Mimi Suziana, 39, dan dua adiknya, Norfasmida, 24 serta Ahmad Faris, 16.

Turut maut dalam kemalangan membabitkan lori dan Perodua Viva itu adalah rakan Norfasmida iaitu Nur Farah Farahainsah Jaafar, 21.

Faizal berkata, ibunya mengetahui kejadian yang menimpa anaknya kira-kira jam 11 pagi tadi apabila anggota polis datang ke rumah memaklumkan Norfasmida meninggal dunia dalam kemalangan.

“Hakikatnya bukan hanya Norfasmida, sebaliknya Mimi Suziana dan Ahmad Faris turut meninggal dunia kerana parah, namun pihak polis tidak memaklumkan kepada ibu kerana bimbang terkejut.

“Namun, ayah dan kami adik-beradik sudah mengetahuinya, cuma tidak tahu bagaimana mahu memberitahu kepada mak sebelum jenazah dijangka tiba lewat malam ini.

“Kami hanya berdoa supaya mak kuat menerima berita ini dan kami juga meminta ayah memberitahu perkara sebenar kepada mak,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Hajat tak kesampaian...>

Empat maut Viva bertembung treler>

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 6:59 PM