KELUARGA Azlin menerima kunjungan Mohamed Khaled, semalam.
KELUARGA Azlin menerima kunjungan Mohamed Khaled, semalam.
myMetro

Pasir Gudang: “Saya bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan banyak pihak termasuk yang menawarkan pekerjaan kepada anak sulung selepas dia kehilangan kerja kerana menjaga saya di hospital sejak Februari lalu,” kata pesakit barah pangkal rahim, Azlin Othman, 42.

Azlin berkata, dia berharap peluang pekerjaan yang diperoleh anak lelakinya yang berusia 21 tahun itu dapat meringankan beban keluarga berikutan buat masa ini, keluarganya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan anak perempuan keduanya yang bekerja sebagai jurujual di pasar raya dengan pendapatan RM1,100 sebulan.

Menurutnya, tawaran kerja berkenaan membolehkan keluarganya menaik taraf kehidupan selain menampung perbelanjaan persekolahan empat anak berusia lima tahun hingga 16 tahun yang terpaksa menangguhkan persekolahan akibat masalah kewangan.

Katanya, peluang pekerjaan sebagai pekerja am yang ditawarkan oleh Pasaraya Econsave Cash & Carry di Taman Scientex, di sini, akan digunakan dengan sebaik mungkin oleh anak lelakinya itu.

“Kami bersyukur kerana Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mengunjungi kediaman kami bagi menyampaikan sumbangan.

“Begitu juga dengan wakil Pasaraya Econsave Cash & Carry yang menyalurkan barangan dapur selain turut menawarkan peluang pekerjaan pada kunjungan sama, baru-baru ini.

“Saya yakin ia berkat doa orang ramai termasuk pembaca Harian Metro selepas kisah keluarga kami didedahkan akhbar ini,” katanya.

Azlin berkata, dia dan enam anak yang masih tinggal di rumah komuniti Taman Cendana juga berterima kasih dengan kemudahan tempat tinggal itu sementara dia mencari rumah sewa lain.

“Menteri Besar juga memberi nasihat supaya tidak mengabaikan persekolahan empat anak bagi memastikan mereka mempunyai masa depan cerah.

“Saya akan mengingati nasihat Menteri Besar supaya tabah dengan dugaan dan lebih cekal serta bersyukur. Harapan saya ialah keempat-empat anak berusia lima tahun hingga 16 tahun dapat kembali bersekolah,” katanya.

Azlin berkata demikian ketika ditemui pada kunjungan Mohamed Khaled di Rumah Komuniti Taman Cendana, baru-baru ini.

Hadir sama Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Cash & Carry Mas Imran Adam.

Sementara itu, Mas Imran berkata, sumbangan bernilai RM1,000 itu diharap dapat digunakan dengan sebaik mungkin oleh keluarga berkenaan bagi menampung keperluan mereka.

Pada 25 Mac lalu, Harian Metro mendedahkan kisah Azlin dan enam anaknya yang hilang tempat berteduh selepas diusir daripada kediaman selepas gagal melunaskan bayaran sewa.

Pihak yang bersimpati kemudiannya merujuk kisah keluarga berkenaan kepada Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon Cendana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 9:26 AM