MOHD FAUZI (tengah) menerima borang sukarelawan antirasuah daripada wakil sukarelawan, Maslan mat Isa (kiri). FOTO Sharul Hafiz Zam
MOHD FAUZI (tengah) menerima borang sukarelawan antirasuah daripada wakil sukarelawan, Maslan mat Isa (kiri). FOTO Sharul Hafiz Zam
Suzalina Halid


SIASATAN kes penyelewengan dana khas Menteri Besar membabitkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam di Kedah, sudah hampir selesai.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, selepas ini, pihaknya akan menyerahkan kertas siasatan kepada pihak Peguam Negara untuk memutuskan untuk tindakan pendakwaan.

“Tahun ini, kita ada beberapa kes yang agak sensitif membabitkan ahli politik termasuk bekas ADUN di Kedah yang kini sudah berada di peringkat akhir siasatan sebelum diserahkan kepada pihak Peguam Negara.

“Pihak Peguam Negara kemudiannya akan membuat keputusan terhadap kes terbabit sama ada akan dituduh di mahkamah atau tidak, ” katanya kepada pemberita, di Alor Setar.

Terdahulu, Mohd Fauzi melancarkan Hari Anti Rasuah Antarabangsa peringkat negeri Kedah yang turut dijayakan dengan kerjasama Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Kedah.

Ogos lalu, media melaporkan seorang bekas ADUN bergelar Datuk di Kedah ditahan reman bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana khas Menteri Besar berjumlah RM30,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Difahamkan, bekas ADUN berusia 60-an itu dipercayai memohon penggunaan dana itu pada Februari tahun lalu atas alasan bagi penganjuran sebuah program, namun tidak menggunakan wang itu untuk tujuan berkenaan.

Pada masa sama, Mohd Fauzi berkata, bekas ADUN itu adalah antara empat ahli politik di Kedah yang disiasat sepanjang tahun ini bagi membantu siasatan membabitkan kes rasuah.

Beliau berkata, dua kes daripadanya membabitkan ahli politik yang disiasat berhubung dakwaan politik wang ketika berlangsungnya pemilihan PKR di Kedah, Oktober lalu.

“Ada dua laporan kes diterima terhadap ahli politik yang didakwa menerima rasuah dalam melaksanakan pemilihan parti baru-baru ini dan kes itu juga masih dalam siasatan, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 12:12 PM