Petah Wazzan Iskandar

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kedah bergelar Datuk direman lima hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana khas Menteri Besar berjumlah RM30,000.

Perintah reman ke atas lelaki berusia 64 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Alor Setar Nor Azah Idris selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perintah reman dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang memperuntukan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, siasatan dibuat membabitkan penyalagunaan dana bagi Program Kayuhan Sadao ke Bukit Kayu Hitam pada 2017.

PEGAWAI SPRM mengiringi bekas ADUN yang dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar untuk mendapatkan perintah reman, hari ini.  FOTO Amran Hamid
PEGAWAI SPRM mengiringi bekas ADUN yang dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar untuk mendapatkan perintah reman, hari ini. FOTO Amran Hamid

Suspek diwakili peguam Hasnul Anis Abdullah Hashim dan Che Zuriati Che Mohamad.

NSTP malam tadi, melaporkan seorang bekas ADUN di Kedah ditahan SPRM bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana khas Menteri Besar berkenaan.

Beliau ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah jam 4 petang semalam.

Sumber dipetik berkata, bekas ADUN berkenaan dipercayai memohon penggunaan dana pada Februari tahun lalu, atas alasan bagi penganjuran sebuah program, namun tidak menggunakan wang itu untuk tujuan berkenaan apabila ia diluluskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 12:08 PM