GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Aizat Sharif


MASIH terlalu awal untuk memuktamadkan siasatan seorang bekas ahli politik bergelar Datuk Seri berhubung penyelewengan dana sebuah persatuan yang beroperasi di Kedah.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, siasatan terhadap kes berkenaan masih berterusan dan berada di peringkat awal.

“Kita sudah pun memanggil antara dua hingga tiga individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan persatuan itu untuk membantu siasatan.

“Namun, buat masa ini ia masih di peringkat awal dan kita belum memuktamadkan siasatan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harian Metro ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa kakitangan SPRM Kedah di sebuah restoran di Hutan Kampung, di Alor Setar, semalam.

Katanya, tiada jangka waktu ditetapkan untuk siasatan berkenaan dan pertuduhan akan segera dilakukan sekiranya ia sudah selesai.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang bekas ahli politik bergelar Datuk Seri sedang disiasat SPRM Kedah berhubung penyelewengan penggunaan dana sebuah persatuan yang beroperasi di negeri ini.

Datuk Seri berusia 60-an itu memegang jawatan penting dalam persatuan berkenaan dan dipercayai menyeleweng dana mencecah jutaan ringgit.

Terdahulu, Shaharom Nizam bersama hampir 30 kakitangan pelbagai unit dari SPRM Kedah serta ahli keluarga mereka bersama-sama berbuka puasa di sebuah restoran di Hutan Kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 11:30 AM